03 January 2008

Rezeki pendulang emas

KOTA BHARU 2 Jan. – Kerajaan Kelantan akan membuka lima kawasan mendulang emas di jajahan Jeli khusus untuk rakyat di negeri ini dalam usaha membantu menambahkan pendapatan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Husam Musa berkata, kawasan mendulang itu melibatkan lima batang sungai yang dikenal pasti oleh Jabatan Geologi mengandungi emas ‘alluvial.’

Beliau berkata, kerajaan negeri memberikan tanggungjawab kepada Permodalan Kelantan Berhad (PMK) untuk menguruskan kesemua kawasan mendulang emas terbabit termasuk menyediakan prasarana.

“Sesiapa sahaja boleh mendulang emas di sini bagaimanapun mereka perlu memohon lesen daripada kerajaan negeri dulu dengan bayaran RM100 untuk setahun.

“PMK juga akan membeli emas terbabit daripada pendulang-pendulang emas dan mengutip royalti daripada mereka melalui syarikat terbabit,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat mingguan Exco negeri di sini hari ini.

Husam berkata, kawasan mendulang emas terbabit dijangka dibuka dalam tempoh tiga minggu lagi selepas PMK siap membina infrastruktur seperti gerai dan tandas.

Katanya, anak syarikat kerajaan negeri itu akan menggunakan emas berkenaan untuk menempa emas dinar sebelum dijual semula kepada orang ramai.

Ketika diminta mengulas mengenai tahap keselamatan, Husam berkata, kawasan mendulang hanya melibatkan tepi sungai dan tidak perlu kerja-kerja menggali seperti di Lubuk Mandi, Terengganu.

(Utusan)

No comments:

Post a Comment