03 January 2008

Polis: Tiada unsur perkauman pergaduhan di Perai

KEPALA BATAS 2 Jan. – Polis menegaskan pergaduhan yang berlaku antara beberapa pemuda Melayu dan India di Kampung Manis, Perai, dekat sini pada malam ambang tahun baru lalu bukan berunsur perkauman.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Koh Hong Sun berkata, pergaduhan tersebut juga tidak melibatkan mana-mana pertubuhan sebaliknya berpunca akibat perselisihan faham dan pengaruh minuman keras.

‘‘Ingin ditegaskan bahawa pergaduhan yang berlaku pada malam sambutan tahun baru yang melibatkan pemuda-pemuda Melayu dan India di Kampung Manis, Perai bukan bersifat perkauman atau mempunyai kaitan dengan mana-mana pertubuhan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Salleh Mat Rasid; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Abdul Samah Mat; Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Wan Abdullah Tuanku Said dan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Mohamad Anil Shah Abdullah.

Mengulas mengenai kejadian itu, Hong Sun berkata, sebuah motosikal yang dinaiki oleh seorang lelaki India, berumur dalam lingkungan 40-an dan dalam keadaan mabuk itu telah bergesel dengan sebuah motosikal yang ditunggangi oleh dua pemuda Melayu berusia 20-an, kira-kira pukul 10.30 malam.

Akibat kemalangan itu, lelaki India tersebut terjatuh dan kejadian itu dilihat oleh sekumpulan lelaki India dan Melayu yang berada di Pangsapuri KTMB,Jalan Perai Utama yang menyebabkan berlakunya pergaduhan.

Berikutan itu, kata Hong Sun, seorang lelaki Melayu dan seorang pemuda India, kedua-duanya berumur dalam lingkungan 20-an mengalami kecederaan dan menerima rawatan sakit luar.

Sementara seorang lagi lelaki Melayu berumur 20-an yang mengalami kecederaan di bahagian tangan masih lagi dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan kini berada dalam keadaan stabil.

Ekoran kejadian itu, katanya, antara pukul 12.30 tengah malam hingga pukul 2.30 pagi ini, berlaku lagi beberapa pergaduhan di SPU dan satu di SPT menyebabkan kerosakan terhadap beberapa buah kenderaan serta kecederaan pada seorang mangsa.

Susulan daripada itu, beliau berkata, seramai 10 pemuda India berumur antara 17 hingga 30 tahun dan enam lelaki Melayu berusia antara 16 hingga 25 tahun yang terlibat secara langsung dalam pergaduhan itu ditahan reman.

Menurutnya, mereka ditahan reman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan polis.

Kes itu, katanya disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu melakukan rusuhan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Justeru, Hong Sun meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan khabar angin mengenai kejadian tersebut sama ada melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau apa-apa cara sehingga mengganggu ketenteraman awam.

Katanya, mereka yang berbuat demikian boleh ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 28 Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 44 akta yang sama.

(Utusan)

No comments:

Post a Comment