03 January 2008

Pakistan keluarkan gambar pembunuh

ISLAMABAD 2 Jan. – Pihak berkuasa Pakistan hari ini menyiarkan beberapa fotografi cantuman kepala manusia dan dua lelaki yang berdiri di tengah-tengah khalayak ramai sebelum Benazir Bhutto dibunuh dan menawarkan ganjaran bagi maklumat bagi identitinya.

Pemimpin pembangkang dan bekas Perdana Menteri itu terbunuh selepas ditembak dan terkena serangan berani mati ketika meninggalkan perhimpunan yang dihadirinya di bandar raya Rawalpindi pada Khamis lalu.

Salah satu gambar yang disiarkan dalam bentuk notis di akhbar berbahasa Urdu terbesar di Pakistan memaparkan dua lelaki berdiri di tengah orang ramai di luar rapat umum Benazir, beberapa ketika sebelum beliau beredar dan dibunuh.

Gambar yang turut disiarkan oleh sebuah stesen televisyen menunjukkan seorang lelaki muda memakai kaca mata hitam memakai baju putih dan kot hitam.

Di belakang lelaki muda itu pula seorang lelaki memakai sebai, dipercayai pengebom berani mati.

Gambar terkemudian dan rakaman video menunjukkan lelaki muda itu melepaskan tembakan dengan pistol ke arah Benazir semasa pemimpin pembangkang itu meninggalkan perhimpunan dan melambaikan tangan ke arah para penyokong melalui bumbung pancaran suria kenderaan pacuan empat roda yang dinaikinya.

“Orang ramai diminta memberikan bantuan bagi menangkap penjenayah yang melakukan insiden paling teruk,” menurut notis yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri wilayah Punjab.

Ia menawarkan ganjaran 10 juta rupee (RM524,000) untuk maklumat yang membawa kepada pengenalan identiti lelaki terbabit.

Rakaman video menunjukkan lelaki muda terbabit melepaskan sekurang-kurangnya tiga das tembakan ke arah Benazir pada jarak tiga meter, menyebabkan kain selendangnya bergerak, dipercayai terkena peluru, dan beliau jatuh ke belakang.

– Reuters

No comments:

Post a Comment