16 January 2008

Ramli Yusuff didakwa lagi

KUALA LUMPUR 15 Jan. – Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuff yang mula dibicarakan atas dua tuduhan gagal mengisytiharkan harta hari ini didakwa atas satu lagi tuduhan tambahan.

Pegawai kanan polis itu didakwa tidak mendedahkan maklumat mengenai 20,000 unit saham miliknya di Telekom Malaysia Bhd. (Telekom).

Ramli, 55, yang memakai sut hitam dan bersongkok mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut yang dibacakan di hadapan Hakim Datin Zabariah Mohd. Yusof.

Zabariah yang bertugas sebagai hakim Mahkamah Sesyen di Shah Alam, Selangor didatangkan ke Mahkamah Sesyen di sini khusus untuk mendengar perbicaraan kes membabitkan Ramli.

Bagi tuduhan ketiga itu, Ramli didakwa tidak mendedahkan maklumat mengenai jumlah saham Telekom miliknya dalam pernyataan bertulis secara bersumpah bertarikh 17 September tahun lalu di Pejabat Timbalan Pendakwa Raya, Ibu Pejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR), Putrajaya pada 17 September 2007.

Pada 1 November tahun lalu, Ramli didakwa atas dua tuduhan tidak mendedahkan maklumat berkenaan dua ruang pejabat bernilai lebih RM1 juta di Tingkat 4, Bangunan M1-B, Megan Avenue II, Jalan Yap Kwan Seng di sini dan sejumlah 154,000 unit saham miliknya dalam syarikat hartanah Permaju Industries Sdn. Bhd. pada tempat dan tarikh yang sama.

Bagi ketiga-tiga tuduhan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 32(2) Akta Pencegahan Rasuah (APR) 1997 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak melebihi RM100,000 jika disabitkan kesalahan.

Selain tiga tuduhan itu, Ramli turut menghadapi tuduhan di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu atas dakwaan menyalahgunakan kedudukannya dengan menggunakan sebuah pesawat milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk meninjau tanah milik syarikatnya di Sabah.

Ramli sebagai penjawat awam turut didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas satu kes saman di bawah Seksyen 168 Kanun Keseksaan kerana melibatkan diri dalam perniagaan Kinsajaya Sdn. Bhd. sebagai pengarah syarikat itu pada 25 April tahun lalu.

Perbuatan itu bertentangan dengan Peraturan 5(1)(a), Peraturan Pegawai Awam Kelakuan dan Tatatertib (Pindaan 2002) yang mana dia boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Bagi kes saman ini, Zabariah menetapkan perbicaraan dijalankan mulai 14 hingga 18 April ini.

Hakim tersebut juga mengarahkan perbicaraan kes gagal mengisytiharkan harta diteruskan mengikut jadual meskipun peguam Datuk C. Vijaya Kumar memohon ditangguhkan sehingga Khamis ini berikutan peguam utama mewakili Ramli, Datuk Muhammad Shafee Abdullah tidak dapat hadir hari ini kerana cuti sakit.

Dalam perbicaraan hari ini, pihak pendakwaan telah memanggil Penguasa BPR, Fikri Abdul Rahim, 32, dari Ibu Pejabat BPR, Putrajaya sebagai saksi pendakwa pertama.

Fikri dalam keterangannya menyatakan, pada pukul 5.50 petang 17 Julai tahun lalu, beliau telah menyerahkan notis di bawah Seksyen 32(2) APR yang dikeluarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya kepada Ramli di Hotel Seri Pacific di ibu negara.

Notis tersebut adalah notis arahan yang menghendaki Ramli memberikan pernyataan bertulis secara bersumpah mengenai setiap harta alih atau tidak alih yang dimilikinya atau yang dia mempunyai kepentingan dan segala punca pendapatan serta perolehannya.

Katanya, penyerahan notis itu dibuat atas arahan Ketua Unit Siasatan Cawangan B, Penguasa Kanan BPR, Saiful Ezral Arifin.

Menurutnya, pada 6.25 petang 21 Ogos 2007, beliau sekali lagi menemui Ramli di Hotel Eastin, Damansara untuk menyerahkan lanjutan daripada notis pertama.

Saksi pendakwa kedua iaitu penyiasat di ibu pejabat BPR, Md. Asmawi Rithwan, 28, pula memberitahu, beliau telah diarahkan oleh Saiful yang merupakan pegawai penyiasat kes itu mengambil kenyataan bersumpah Ramli di pejabatnya di JSJK, Bukit Perdana pada 17 September 2007.

‘‘Semasa di pejabatnya, dia (Ramli) telah menyerahkan satu dokumen yang dikatakan sebagai pernyataan bersumpah dalam satu sampul surat yang bermetri,’’ katanya.

Pada 19 September pula, kata Md. Asmawi, beliau diarahkan pula oleh Saiful untuk mengambil beberapa dokumen lagi yang terkandung dalam empat buah kotak di pejabat Ramli.

Menurutnya, beberapa dokumen tambahan turut dihantar ke ibu pejabat BPR oleh Supritendan Adlan Ahmad pada 20 September tahun lalu.

Pegawai penyiasat ibu pejabat BPR, Azmi Ismail, 48, sebagai saksi pendakwa ketiga pula memberitahu, beliau telah membuat aduan kepada BPR pada 2 April 2007 berdasarkan satu laporan yang dikemukakan oleh Fikri.

Semasa pemeriksaan balas oleh Vijaya Kumar, Azmi memberitahu, semasa aduan itu dibuat, beliau belum lagi tahu apa kesalahan sebenar yang dilakukan oleh Ramli.

Pemeriksaan utama bagi kesemua saksi tersebut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Razak Musa yang juga Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan BPR.

Beliau dibantu oleh tiga Timbalan Pendakwa Raya iaitu Mohamad Jazamuddin Ahmad Nawawi, Zulqarnain Hassan dan Mohd. Sophian Zakaria.

Perbicaraan bersambung Khamis ini.

- Utusan

No comments:

Post a Comment