16 January 2008

Perakam sedia beri keterangan

KUALA LUMPUR 15 Jan. – Anak lelaki seorang ahli perniagaan yang merakamkan perbualan telefon dikatakan antara peguam Datuk V. K. Lingam mengenai pelantikan hakim-hakim bersedia untuk hadir sebagai saksi Suruhanjaya Siasatan Diraja.

Bapanya, Loh Mui Fah memberitahu suruhanjaya itu, beliau telah meminta anak lelakinya, Loh Gwo Burne yang kini berada di Shanghai, China supaya kembali ke negara ini.

Katanya, persiapan telah dibuat oleh pejabatnya untuk menguruskan kepulangan anaknya.

Menjawab soalan sama ada anaknya itu mungkin pihak bertanggungjawab mendedahkan rakaman klip video itu kepada umum, Mui Fah berkata, beliau tidak boleh menjawab bagi pihak Gwo Burne.

“Tetapi saya rasa tidak mungkin dia yang melakukannya kerana dia berada di seberang laut,” katanya.

Peguam Americk Singh Sidhu yang mewakili Mui Fah ketika ditanya Utusan Malaysia selepas prosiding siasatan memberitahu Gwo Burne dijangka tiba di tanah air esok atau lusa.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan memberi keterangan di hadapan Suruhanjaya Diraja itu esok.

Pegawai Pengendali Suruhanjaya, Datuk Azmi Ariffin memberitahu pemberita selepas prosiding siasatan itu bahawa Dr. Mahathir akan dipanggil sebagai saksi esok.

- Utusan

No comments:

Post a Comment