20 January 2008

Proses seragam undang-undang pentadbiran Islam hampir siap

BESUT 19 Jan. – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) kini dalam peringkat akhir untuk menyiapkan proses penyeragaman Undang-undang Pentadbiran Islam di negara ini, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin.

Menurut beliau, penyeragaman itu meliputi Undang-undang Keluarga Islam, Undang-undang Mal, Tatacara Jenayah Syariah serta lima Rang Undang-undang melibatkan Pentadbiran Islam.

Katanya, sehingga kini urusan yang melibatkan sembilan negeri telah selesai dibuat dan dalam jangka masa terdekat dijangka keseluruhan negeri dapat menggunakan undang-undang yang seragam.

‘‘Apabila penyeragaman itu dapat dilaksanakan, semua negeri dapat menguatkuasakan undang-undang Islam yang lebih komprehensif dan berkesan di semua negeri,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Cek Elaun kepada lebih 300 imam dan bilal daerah Besut di Masjid Al Muqarrabin, Kampung Gong Kepas dekat sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdullah yang juga Ahli Parlimen Besut berkata, langkah menyeragamkan undang-undang itu juga memperlihatkan undang-undang Islam memberikan keadilan walau di negeri mana seseorang itu berada.

Terdahulu, dalam ucapan beliau berkata, pendekatan Islam Hadhari yang dilaksanakan oleh kerajaan telah berjaya membawa banyak perubahan dan kemajuan kepada rakyat dan negara.

Katanya, tidak wajar lagi Islam Hadhari dilabelkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sebagai agama dan ajaran baru sedangkan ia merupakan satu kaedah untuk membawa umat Islam di negara ini ke era lebih cemerlang.

Tambah beliau, sudah tiba masanya bagi umat Islam di negara ini menjadi umat yang maju dan cemerlang setelah sekian lama dijajah dan pemikiran yang berkisar kepada kehidupan seharian sahaja.

- Utusan

No comments:

Post a Comment