20 January 2008

RTM tidak gam Faizal Tahir

KUALA LUMPUR 19 Jan. – Penyanyi kontroversi yang menanggalkan baju pada konsert stesen televisyen 8TV Ahad lalu, Faizal Tahir tidak akan dihalang untuk tampil mengadakan persembahan di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin berkata, tindakan menghalang Faizal adalah tidak wajar kerana penyanyi itu telah pun dihukum dengan pengharaman persembahan secara langsungnya di stesen-stesen TV swasta selama tiga bulan.

“Kita tidak menghalang Faizal untuk membuat persembahan di RTM asalkan mematuhi etika yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang menggantung rancangan-rancangan siaran langsung dan tertunda berbentuk hiburan di stesen 8TV selama tiga bulan berkuat kuasa 15 Januari lalu.

Keputusan itu dibuat selepas stesen 8TV gagal mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan semasa konsert siaran langsung ulang tahun keempat stesen televisyen terbabit yang menyaksikan Faizal menyanyi tanpa memakai baju.

Selaras dengan keputusan itu, SKMM juga ‘mengharamkan’ penyanyi terbabit mengadakan persembahan secara langsung di stesen-stesen TV swasta lain juga selama tiga bulan mulai tarikh yang sama.

Ini juga bermakna Faizal terpaksa melupakan hasratnya untuk muncul membawakan dua lagunya yang layak ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu 22 (AJL 22) terbitan stesen TV3 yang akan disiarkan secara langsung pada 27 Januari ini.

- Utusan

No comments:

Post a Comment