Pelakon drama popular, Arash Mohd dan Noor Afidahwati Mohamad akhiri zaman bujang pada 25 Disember lalu
BUKAN niat untuk menyembunyikan detik bermakna selepas 38 tahun hidup bersendirian, jauh sekali memungkiri janji yang pernah diucapkan kepada pihak media yang menyokong perjuangan seninya selama ini.
Cuma kata Arash Mohd, yang mengakhiri zaman bujangnya pada pagi 25 Disember lalu, keputusan untuk tidak mengundang pihak media dibuat sebagai menghormati keluarga isterinya.
Bukan mereka tidak memahami kerjaya Arash yang sentiasa membuatnya menjadi perhatian, namun kata Arash, dia lebih selesa majlis pernikahannya itu berlangsung secara sederhana dan tidak terlalu digembar-gemburkan.
"Saya minta maaf kerana tidak memaklumkan terlebih awal mengenai pernikahan ini. Bukan niat saya untuk menyorok tetapi mengenangkan majlis ini dilangsungkan di sebelah pihak perempuan dulu, biarlah semuanya selesai dan selamat, baru saya bersedia untuk memaklumkan kepada semua.
"Lagipun dari awal lagi, saya sudah membincangkan semua ini bersama keluarga kedua-dua belah pihak. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar sehingga saya selamat menjadi suami tepat jam 9.45 pagi, 25 Disember lalu.
Insya-Allah, saya akan mengundang semua pihak yang banyak berjasa kepada perkembangan karier seni saya pada majlis persandingan sebelah lelaki pada 10 Februari ini di Kuala Lumpur. Saya tidak akan lupa itu," kata Arash ketika dihubungi, baru-baru ini.
Dramatis kacak berusia 38 tahun ini bersyukur kerana 2007 diakhiri dengan catatan bermakna apabila sah menjadi suami kepada Noor Afidahwati Mohamad, 28 tahun.
Pasangan itu dinikahkan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk, Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak, Abdullah Mohd Arif di kediaman pengantin perempuan di Taman Jasa, Kuala Kangsar.
Menjalin ikatan pertunangan selama empat bulan pada 28 Julai lalu, selepas dua kali lafaz, Arash berdoa perkahwinannya dengan Afidahwati akan berkekalan hingga ke akhir hayat.
Pada majlis serba sederhana yang turut dihadiri dua pelakon yang juga teman rapatnya, Siti Shahrizah (Eja) dan Ady Putra, Arash membawa tujuh dulang hantaran dibalas sembilan oleh pihak perempuan.
Afidahwati turut menerima wang hantaran RM8,888 serta mas kahwin RM101 pada tarikh pernikahan yang sama dengan ulang tahun kelahiran ibu Arash, Aminah Shahirin.
"Memang kami memilih untuk tidak bertunang lama kerana dugaan di alam pertunangan terlalu mencabar. Alhamdulillah jodoh kami kuat dan seperti pasangan lain, tiada lain yang didoakan kecuali pernikahan ini berkekalan hingga ke akhir hayat," katanya.
Pasangan ini mula berkenal sekitar lima tahun lalu, namun turut mengalami episod pasang surut sebuah perhubungan sebelum menemui bahagia yang dicari.
Awal perhubungan, langsung tidak terlintas ia akan diakhiri dengan sebuah ikatan suci. Sekadar berkawan biasa, hanya lebih setahun lalu, mereka mula akrab dan membibitkan perasaan cinta.
"Saya memilih Afidahwati kerana dia menghormati orang tua. Sebelum menyampaikan hajat untuk menyuntingnya sebagai suri hidup, kami bersama memohon keizinan keluarga.
"Selepas bertemu keluarga Afidahwati, saya membawanya berjumpa dengan keluarga saya di Kajang, Selangor. Alhamdulillah, jalan untuk kami membina masjid terbentang tanpa sebarang halangan.
"Saya sendiri bersyukur kerana impian ini termakbul dan pintu hati saya terbuka untuk menggalas tanggungjawab baru sebelum 2007 berakhir," kata Arash yang bercuti lebih sebulan untuk membuat persiapan pernikahan dan persandingan di sebelah keluarga isterinya.
Berbeza usia 10 tahun, Arash berharap kematangannya dalam meniti kehidupan akan membantunya melayari kehidupan berumahtangga dengan aman dan penuh kasih sayang.
Baginya, apa juga keputusan yang dibuat akan diiringi fikiran yang matang kerana katanya, ikatan sebuah perkahwinan itu terlalu suci dan mulia di sisi agama.
"Syukur kerana isteri memahami kerjaya saya. Dia sendiri pernah terbabit dalam bidang ini ketika bersama Astro dulu, jadi mudah untuk dia menyesuaikan diri dengan suasana kerjaya saya yang tidak tentu masa.
"Saya pula lebih mudah membincangkan segala-galanya dari awal supaya tidak timbul perselisihan di belakang hari. Barangkali kerana persefahaman juga akhirnya membawa kami ke gerbang perkahwinan," katanya.
Memilih untuk terlebih dulu berbulan madu di Pulau Pangkor, Arash turut bercadang membawa isterinya itu ke Dublin, Ireland selepas selesai majlis persandingan di pihak lelaki nanti.
"Kebetulan adik saya yang bekerja dan menetap di sana tidak berkesempatan untuk menghadiri majlis perkahwinan kami, jadi kami mengambil kesempatan untuk ke sana.
"Tambahan pula, dia bakal menimang cahaya mata sekitar Mac ini. Jadi sambil berbulan madu, sempat juga kami melawat anak saudara yang bakal lahir sekitar bulan itu," katanya.
- B.Harian
No comments:
Post a Comment