05 January 2008

Pulangkan yuran tandas

JOHOR BAHRU 4 Jan. – Sebuah sekolah menengah di Permas Jaya di sini telah diarah memulangkan semula yuran penyelenggaraan tandas sebanyak RM5 yang dikenakan ke atas para pelajarnya pada Isnin ini.

Pengarah Pelajaran Johor, Mokhy Saidon berkata, ini kerana pelajar tidak sewajarnya dikenakan yuran tersebut kerana kos penyelenggaraan tandas merupakan tanggungjawab sekolah menerusi peruntukan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN).

Menurutnya, adalah tidak wajar sama sekali pelajar dikenakan yuran tersebut untuk membaiki tandas yang rosak disebabkan oleh perbuatan nakal segelintir pelajar lain yang kurang berdisiplin.

“Sekolah hanya boleh kenakan denda ke atas pelajar terbabit, tetapi bukan menetapkan bayaran penyelenggaraan ke atas setiap pelajar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas rungutan seorang bapa yang hanya ingin dikenali sebagai Abdullah semalam terhadap tindakan pihak pengurusan sekolah berkenaan yang mengenakan yuran penyelenggaraan tandas RM5 kepada setiap pelajarnya.

Mokhy berkata, pihaknya telah menghubungi sekolah berkenaan dan mengarahkan bayaran itu dikembalikan semula kepada setiap pelajar pada Isnin ini.

Mengenai yuran pelbagai, beliau mengarahkan sekolah tersebut agar memberikan butiran terperinci berhubung bayaran itu kepada setiap pelajar.

“Ini membolehkan ibu bapa mengetahui tujuan sebenar yuran itu dipungut,” katanya.

Beliau turut mencadang supaya yuran pelbagai itu boleh dikutip secara beransur-ansur apabila pihak sekolah mengadakan program dan aktivitinya.

“Dahulukan yuran yang ditetapkan Kementerian Pelajaran, manakala yuran lain dibayar kemudian dan boleh buat beransur-ansur agar tidak membebankan ibu bapa,” katanya.

Sementara itu, pengetua sekolah terbabit yang enggan namanya disiarkan mengesahkan telah menerima arahan daripada JPN Johor agar memulangkan semula yuran penyelenggaraan tandas itu kepada para pelajar.

“Kami akan pulangkannya seberapa segera,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

- Utusan

No comments:

Post a Comment