04 January 2008

Pemimpin Hindraf saman kerajaan, polis RM100 juta

KUALA LUMPUR: Peguam P. Uthayakumar hari ini memfailkan saman fitnah sebanyak RM100 juta terhadap Ketua Polis Negara, Peguam Negara dan kerajaan kerana mengaitkan beliau dengan kumpulan pengganas yang berpangkalan di Sri Lanka.

Uthayakumar, 46, memfailkan saman itu di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi Sivil menerusi Tetuan Manogar & Co.

Beliau menamakan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan sebagai defendan pertama dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan kerajaan sebagai defendan kedua.

Uthayakumar meminta ganti rugi kesengsaraan, ganti rugi teladan, injunksi untuk menghalang Ketua Polis Negara dan Peguam Negara atau ejen atau kakitangan daripada menerbitkan lagi atau menyebabkan untuk menerbitkan sebarang saman fitnah yang sama, kos dan relief lain yang didapati sesuai oleh mahkamah.

Dalam kenyataan tuntutannya, beliau berkata bahawa kenyataan pada media oleh Musa bahawa satu kumpulan, yang telah bertindak sebagai seorang penasihat undang-undang, mempunyai hubungan dengan sebuah kumpulan pengganas yang dilaporkan meluas di semua akhbar tempatan harian di negara ini.

Beliau mendakwa bahawa ini telah memusnahkan kredibilti dan reputasinya.

Beliau mendakwa bahawa kenyataan Musa telah mencerminkan beliau sebagai seorang pengganas dan berhasrat untuk menggunakan kekasaran bagi mencapai objektifnya untuk menggulingkan kerajaan.

Katanya beliau memutuskan untuk memfail saman itu selepas semua defendan gagal menjawab suratnya bertarikh 12 Dis tahun lepas, mendesak bahawa mereka menarik balik semua tuduhan dan meminta maaf kepada beliau.

Uthayakumar ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 13 Dis dengan empat yang lain M. Manoharan, 46, V. Ganabatirau, 34, K. Vasantha Kumar and R. Kenghadharan, 40, kerana dituduh terbabit dalam penganjuran perhimpunan haram di pusat bandar raya pada 25 Nov lepas dan dakwaan menghasut. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment