KUALA LUMPUR, 8 Jan (Hrkh) - Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman hari ini berhadapan dengan satu laporan polis ke atasnya berhubung keceluparannya mencabar parti-parti pembangkang supaya tidak menyertai pilihanraya umum akan datang.
Laporan tersebut dibuat oleh Pemuda PAS Wilayah Persekutuan melalui Ketuanya, Kamaruzaman Mohamad di mengikut Seksyen 107, Kanun Acara Jenayah di Balai Polis Dang Wangi dekat sini hari ini.
Harakahdaily juga mendapat maklumat bahawa Dewan Pemuda PAS Johor turut akan membuat laporan polis mengenai perkara yang sama terhadap Abdul Rashid pagi esok.
Laporan polis itu berdasarkan kepada kenyatan Rashid yang disiarkan akhbar harian berbahasa Melayu, Utusan Malaysia bertarikh 1 Januari 2008 yang bertajuk "SPR cabar pembangkangkah jangan tanding pilihanraya".
Dalam laporan itu, Abdul Rashid (kanan) dilaporkan sebagai berkata, tidak ada gunanya pihak pembangkang menyertai pilihanraya tersebut jika mereka tetap dengan tindakan mengutuk serta menuduh sistem pilihan rayadi Malaysia penuh dengan penyelewengan.
Abdul Rashid juga menyatakan kesalnya dengan tindakan itu, mahu pembangkang lebih rasional dan bertanggungjawab sebelum melemparkan dakwaan..
Berikutan itu, Abdul Rashid mencabar pembangkang supaya tidak menyertai pilihanraya umum akan datang jika terus menuduh SPR dengan alasan bukan-bukan.
Mengulas laporan polis yang dibuat hari ini, Kamaruzzaman melihat kenyataan pengerusi SPR itu sebagai melampau serta tidak bertanggungjawab.
Baginya, Abdul Rashid tidak boleh membuat kenyataan itu kerana beliau dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong menurut peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan untuk menjunjung proses pendemokrasian melalui sistem pilihanraya.
Katanya lagi, cabaran yang dibuat oleh Abdul Rashid atas kapasiti selaku Pengerusi SPR menunjukkan betapa beliau seolah-olah mengambil sikap bermusuhan dengan parti-parti politik pembangkang.
Beliau juga mendakwa Pengerusi SPR bersikap berat sebelah dan prejudis hingga menyebabkan hilangnya keyakinan parti politik terhadap ketelusan SPR.
Berikutan kenyataan itu juga pihaknya beranggapan kenyataan pengerusi SPR itu juga merupakan satu perlanggaran terhadap peruntukan Perkara 114 (2) Perlembagaan Persekutuan yang secara tegas mengkehendaki supaya SPR menjadi satu suruhanjaya yang mendapat keyakinan dan kepercayaan daripada rakyat Malaysia, kata Kamaruzzaman.
"Maka, sekiranya Pengerusi SPR bertindak menjadi seolah-olah seorang ahli politik dengan membuat cabaran terbuka kepada parti-parti politik yang merupakan pelanggan kepadanya, maka apa lagi keyakinan yang dapat diharapkan sebagaimana yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan selaku undang-undang tertinggi di dalam negara ini," ujarnya.
Cabaran terbuka yang dibuat oleh Pengerusi SPR tersebut juga dilihat sebagai suatu yang amat merbahaya dan bersifat provokatif serta boleh menimbulkan suasana tidak tenteram di dalam negara in, katanyai.
"Dalam keadaan kami dari parti pembangkang sentiasa komited untuk mendapatkan pilihanraya yang adil dan telus, tidak sepertimana perjalanan pilihanraya yang diadakan selama ini yang jelas tidak adil dan banyak memberikan kelebihan kepada parti pemerintah, cabaran pengerusi SPR ini adalah satu hasutan supaya supaya pilihanraya tidak lagi dilihat sebagai mekanisme yang sah untuk rakyat memilih pemimpin," katanya.
Kamaruzaman berkata, pengerusi SPR nampaknya mahu rakyat yang mempertikai kewibawaannya untuk memilih cara lain bagi melantik pemimpin dan kerajaan.
"Inilah implikasi negatif dari kenyataan tersebut. Sebagai pengerusi SPR, Tan Sri Rashid (kanan) sepatutnya berusaha untuk membuktikan dirinya dan SPR mempunyai kewibawaan dan integriti yang tinggi, selain dari sikap adil dan telus kepada semua pihak.
"Dengan mencabar parti-parti pembangkang supaya tidak bertanding di dalam pilihanraya, pengerusi SPR jelas tidak mahu mengambil sebarang tindakan untuk memperbetulkan kepincangan dan ketidakadilan di dalam proses pengedalian pilihanraya," ujarnya..
Sebaliknya Pengerusi SPR dikatakan cuba bermain politik bagi menutup kelemahannya hingga boleh menyebabkan rakyat tidak lagi yakin bahawa pilihanraya yang dikendalikan oleh SPR sebagai pilihanraya yang adil dan telus, katanya.
Sesungguhnya, tambah beliau, kenyataan pengerusi SPR itu boleh menimbulkan ancaman terhadap keselamatan negara dan ketenteraman awam apabila rakyat semakin tidak percaya terhadap ketelusan SPR.
Memikirkan kes kepada keselamatan negara akibat keceluparan Pengerusi SPR itu, Pemuda PAS Wilayah membuat laporan bagi membolehkan polis menjalankan siasatan dan mengambil tindakan undang-undang ke atas Pengerusi SPR, katanya.
- HarakahDaily
No comments:
Post a Comment