08 January 2008

PAS intai peluang perintah tiga negeri selain Kelantan

PUTRAJAYA: Yakin ramai rakyat semakin gusar dengan kenaikan harga barang, PAS kini menaruh harapan bukan hanya mempertahankan Kelantan, malah merampas semula Terengganu serta menawan beberapa lagi negeri di utara negara daripada Barisan Nasional pada pilihan raya akan datang.

Menurut Ketua Pemudanya Salehuddin Ayob, peluang parti itu mempertahankan Kelantan serta memenangi kerusi majoriti di Terengganu, Kedah dan Perlis sangat cerah.

"Kita berkeyakinan tinggi dapat merampas Kedah dan Perlis, selain Terengganu pada pilihan raya kali ini kerana rakyat memang sudah sangat marah kepada kerajaan berikutan kenaikan harga minyak dan barang-barang keperluan lain," katanya ketika ditemui di ibu pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya di sini Isnin.

Selain tiga negeri itu, katanya, PAS juga akan menumpukan kekuatannya di Pahang, Perak dan Selangor untuk sekurang-kurangnya mengurangkan jumlah kerusi Barisan kepada majoriti mudah dan tidak dua pertiga di Dewan Undang Negeri masing-masing.

Beliau berpendapat, perkembangan dalam negara sejak akhir-akhirnya ini seperti peningkatan kos sara hidup, peningkatan kes jenayah berat, pendedahan kes-kes rasuah dan penyelewengan melibatkan orang-orang kenamaan serta pelbagai isu lain yang meresahkan rakyat, akan memberikan kelebihan kepada PAS serta rakan-rakan lain dari parti pembangkang untuk menarik lebih ramai pengundi untuk menolak Barisan.

Mengenai pembahagian kerusi antara parti itu dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Salehuddin berkata kedua-dua pihak sudah mencapai persetujuan bagi hampir 95% kerusi yang akan mereka tandingi pada pilihan raya ke-12 yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Ditanya kemungkinan PAS, PKR dan DAP bertanding di kawasan yang sama, Salehuddin berkata, ia pernah berlaku di beberapa kawasan yang majoiritinya bercampur sebelum ini, tetapi kemungkinan ia berulang kali ini adalah sangat tipis.

Beliau hadir di ibupejabat SPR bagi menyerahkan sendiri surat menjemput Pengerusi suruhanjaya itu, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman untuk berdebat secara ilmiah tentang pelbagai isu melibatkan perjalanan pilihan raya di negara ini.

Katanya, jemputannya kepada Abdul Rashid itu bukan satu helah politik, tetapi bagi mengembalikan integriti SPR yang didakwanya semakin tercemar akhir-akhir ini.

Menurutnya, beberapa perkara utama yang ingin beliau bangkitkan sekiranya Abdul Rashid menyahut cabarannya untuk berdebat, ialah dakwaan yang SPR terlalu memihak kepada Barisan dan tidak bersikap adil, isu memberikan ruang publisiti kepada parti-parti pembangkang dalam media massa tempatan, serta penubuhan kerajaan sementara sebaik Parlimen dibubarkan agar jentera kerajaan tidak disalahgunakan untuk berkempen.

SPR, katanya, mempunyai kuasa di bawah perlembagaan untuk mengarahkan agar ruang publisit lebih adil diberikan kepada pembangkang oleh media massa tempatan serta menetapkan penubuhan kerajaan sementara bagi mengelak penyalahgunaan jentera kerajaan.
PAS juga, katanya, mahu agar undi pos yang didakwa tidak telus dimansuhkan pada pilihan raya akan datang.

- Mstar

No comments:

Post a Comment