04 January 2008

Ong Ka Ting pangku jawatan Menteri Kesihatan

PUTRAJAYA, 4 Jan. - Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan pelantikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ong Ka Ting sebagai pemangku Menteri Kesihatan berkuatkuasa hari ini.

“Saya telah maklumkan kepada beliau,” kata Abdullah dalam kenyataan kepada Bernama.

Secara tradisi, portfolio Menteri Kesihatan disandang oleh wakil dari MCA, parti komponen kedua terbesar dalam Barisan Nasional (BN).

Jawatan itu kosong berikutan peletakan jawatan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dua hari lepas setelah beliau membuat pengakuan bahawa beliaulah lelaki bersama seorang wanita yang terdapat dalam satu rakaman video seks.

Setelah Majlis Presiden MCA mengadakan mesyuarat tergemparnya pada 2 Jan, parti itu mengemukakan tiga nama kepada Perdana Menteri untuk dipertimbangkan bagi memangku jawatan itu.

Mereka ialah Ong, yang juga Presiden MCA, timbalan presiden itu dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Chan Kong Choy dan Naib Presiden MCA, yang juga Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Fong Chan Onn.

Dr Chua, yang juga seorang daripada Naib Presiden MCA, turut melepaskan jawatan itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment