03 January 2008

3 lelaki culik Wan Zaleha

PUCHONG: Pengacara terkenal serta bekas pembaca berita TV3, Wan Zaleha Radzi menyambut tahun baru 2008 dalam keadaan trauma apabila diserang sekumpulan tiga lelaki sebelum diculik sebaik memasuki kenderaan mewahnya, kelmarin.

Penjenayah terbabit dikatakan menculik personaliti berkenaan selama beberapa jam sebelum dibebaskan.

Difahamkan, ketika kejadian, ketiga-tiga suspek berusia sekitar 20-an yang menyamar polis meminta MyKad mangsa sebagai taktik sebelum melakukan rompakan.

Dalam kejadian jam 9 malam, Wan Zaleha berada di Pusat Bandar Damansara berhampiran sebuah restoran makanan segera dan bangunan Menara Milenium.

Berdasarkan laporan polis dibuat mangsa, kata sumber, Wan Zaleha Radzi, 43, yang juga Pengarah Urusan Asiapromote Ventures, berjalan menuju ke Nissan Murano milik suaminya, Peter Imran Winton.

Ketika menghampiri kereta itu, dia terserempak sebuah kereta hitam yang tiba-tiba muncul lalu diletakkan bersebelahannya.

Difahamkan, tiga penumpang kereta terbabit yang tidak dikenali keluar sebelum mendekati mangsa yang bersendirian.

“Seorang daripada penjenayah meminta MyKad milik mangsa. Dua suspek lain segera menolak dan memaksa mangsa ke dalam keretanya.

“Selebriti itu meronta untuk melepaskan diri tapi penjenayah bertindak ganas dengan mencekik lehernya dan mengugut supaya tidak melawan,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.

Mangsa diarah menyerahkan kunci kereta, telefon bimbit serta dompet dan berikutan bimbang dicederakan, mangsa akur dengan arahan penjenayah.

“Mangsa kemudian dibawa menaiki kereta oleh penjenayah selama beberapa jam sebelum dibebaskan berhampiran Masjid Puchong Perdana. Dia bagaimanapun tidak dicederakan,” katanya.

Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Bukit Puchong pada jam 12.35 tengah malam semalam.

Difahamkan, kejadian itu menyebabkan mangsa yang juga pengerusi penganjur Kejohanan FEI 5 Star Grand Prix di Kuala Lumpur, baru-baru ini, kehilangan telefon bimbit bernilai RM2,500 selain wang tunai RM1,000.

Kereta mangsa yang bernilai sekitar RM100,000 turut dilarikan penjenayah. Sehingga kini polis masih berusaha menjejaki kereta terbabit.

Berikutan kejadian berlaku dalam kawasan Kuala Lumpur, siasatan kes yang dilaporkan di Puchong kini diambil alih Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

Usaha Harian Metro menghubungi Wan Zaleha yang pernah menjadi juri dalam rancangan Malaysian Top Host bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian terbabit gagal berikutan telefon bimbitnya tidak dijawab.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Pemangku Superintendan Azri Abdul Rahman, yang dihubungi mengesahkan kejadian rompakan berkenaan, namun enggan mengulas lanjut.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut atau menyaksikan kejadian terbabit supaya menghubungi IPD Brickfields di talian 03-2274 2222 bagi membantu siasatan.

Difahamkan kes terbabit kini disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menyamun berkumpulan.

Berdasarkan maklumat, kes jenayah sama membabitkan kumpulan penjenayah yang mensasarkan kenderaan mewah sudah sering kali berlaku apabila mangsa turut diugut dengan menggunakan pistol atau parang.

Dalam kejadian sama jam 6.15 petang kelmarin, sekumpulan tiga lelaki bersenjatakan pisau merompak seorang pemilik kenderaan sebelum melarikan Toyota Altis di kawasan meletak kenderaan di sebuah pusat beli-belah di Cheras.

Kejadian sama turut dilaporkan di Taman Rajawali, Cheras, apabila dua suspek merompak dan melarikan sebuah Mercedes Benz E240 berwarna biru sekitar jam 4.30 petang, baru-baru ini.

- H/Metro

1 comment:

  1. mesti wan zaleha cerita etnik perompak itu, PARIA KE, MELAYU KE CINA KE ANJING KE

    ReplyDelete