07 January 2008

Orang ramai tangkap dua peragut

JOHOR BAHRU: Sikap prihatin dan tindakan pantas orang ramai berjaya menggagalkan usaha dan menahan dua lelaki yang meragut beg tangan seorang pembantu jualan di Jalan Molek 1/9, Taman Johor Jaya, di sini, tengah hari kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa berusia 20-an yang berjalan bersendirian di jalan berkenaan sebelum didatangi dua lelaki menaiki motosikal yang terus meragut beg tangannya.

Bagaimanapun, kejadian itu disaksikan seorang pemandu lori yang bertindak pantas menggunakan kenderaannya untuk menghalang suspek daripada melarikan diri.

Ketika peragut terbabit mahu mengelak daripada berlanggar dengan lori berkenaan, orang ramai yang berada di kawasan berhampiran segera menahan kedua-dua suspek berkenaan.

Jurucakap polis berkata, mangsa mengalami kecederaan ringan akibat terjatuh selepas beg tangannya disentap dua peragut berkenaan.

“Dua suspek berkenaan berusia 23 dan 18 tahun dengan lelaki berusia 23 tahun itu memiliki rekod jenayah lampau kerana mencuri. Kedua-duanya akan didakwa di mahkamah pada Khamis ini,” katanya.

- H/Metro

No comments:

Post a Comment