07 January 2008

Kes Batu Burok - Bersih dakwa Gani Patail buat keputusan politik

KUALA TERENGGANU, 7 Jan (Hrkh) - Gabungan Tuntutan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menentang keras tindakan rakus yang dilakukan oleh Kerajaan Malaysia khususnya Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang mengambil keputusan dalam bentuk berat sebelah terhadap Suwandi Ab Ghani dan Muhamad Azman Aziz.

Ahli Jawatankuasanya, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata, tindakan itu lebih merupakan keputusan politik terhadap kedua-dua mangsa tembakan peluru hidup dalam Tragedi Berdarah Batu Burok pada 8 September lalu itu.

Katanya, Bersih juga membantah keras keputusan yang dibuat dan tindakan tidak membenarkan ikat jamin terhadap kedua-duanya.(Gambar - Dr Syed Azman bercakap kepada wartawan di luar kompleks mahkamah)

Menurutnya, Bersih juga menggesa Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga merupakan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Ketua Polis Negara dan Peguam Negara menimbangkan semula permohonan membenarkan sekurang-kurangnya diikat jamin terhadap mereka.

"Bersih telah membuat keputusan bahawa kalaulah mereka yang telah dikenakan tuduhan di bawah perhimpunan Hindraf dan mereka dibenarkan ikat jamin dan dibenarkan dibebaskan, maka apa kurangnya dua orang yang ditembak oleh polis iaitu Azman dan Suwandi yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu dan Hospital Universiti Sains Kubang Kerian, di Kota Bharu tetapi tidak dibenarkan ikat jamin," ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 500 hadirin yang berkumpul di luar Kompleks Mahkamah di sini, pagi semalam sebagai menyatakan sokongan kepada Azman dan Suwandi dalam perbicaraan bagi mendapatkan jaminan di Mahkamah Tinggi di sini.

Bagi Bersih, katanya itu merupakan suatu bentuk kezaliman yang amat ketara yang dilakukan oleh Kerajaan Malaysia dan Peguam Negara sendiri. Sehubungan itu, tegasnya bahawa Bersih meminta supaya keadilan di Malaysia dikembalikan dan mempertahankan undang-undang.

Katanya, mempertahankan kedaulatan undang-undang adalah merupakan tuntutan dan tanggungjawab semua.

Katanya lagi, Bersih juga melihat kalau undang-undang dan keluhuran Perlembagaan tidak dipertahankan oleh pihak Peguam Negara sendiri, maka rakyat seluruhnya akan hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap sistem kehakiman yang ada dalam negara ini.

"Sekali lagi, saya bagi pihak Bersih meminta agar disegerakan permohonan untuk membebaskan Suwandi dan Azman. Bersih juga dengan sebulat suara memberikan sokongan dan dokongan kepada seluruh rakyat warga Malaysia dan warga Terengganu.

"Kita memberi sokongan dan dokongan penuh kerana ini merupakan hak bagi setiap warga dan rakyat untuk berhimpun secara aman dan tenteram untuk menyatakan sikap mereka secara aman terhadap kezaliman, ketidakadilan yang dilakukan oleh Umno dan Barisan Nasional terutamanya dalam mencabul sistem sistem kehakiman dan keadilan yang ada dalam negara ini sendiri," ujarnya.

- HarakahDaily

No comments:

Post a Comment