07 January 2008

Awas langgar, samun

PETALING JAYA: Awas dengan kehadiran sekumpulan penjenayah yang menggunakan taktik langgar belakang dan samun kenderaan yang dikesan kembali aktif berkeliaran mencari mangsa di kalangan pemilik kereta mewah.

Difahamkan penjenayah terbabit mengekori sasaran mereka terutama yang memandu kereta mewah seorang diri hingga ke kawasan sunyi sebelum melanggar kenderaan terbabit.

Penjenayah berkenaan merampas kereta selepas pemandu keluar daripada kenderaan untuk melihat kerosakan dialami akibat kemalangan itu.

Ketua Balai Polis Sea Park, Cif Inspektor Mohd Sahar Mohd Yunus, berkata kegiatan penjenayah itu kembali aktif apabila pihaknya menerima satu laporan mengenai kejadian langgar dan samun kenderaan Khamis lalu.

“Saya percaya kegiatan itu berlaku lagi dan penjenayah terbabit akan menggunakan modus operandi sama untuk mencuri kenderaan terutama kereta mewah dan keluaran terbaru,” katanya selepas majlis dialog dengan persatuan penduduk sekitar Damansara Utama, di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Damansara Utama merangkap Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Datuk Lim Choon Kim.

Mohd Sahar menasihatkan mereka yang dilanggar di kawasan sunyi supaya tidak menghentikan kenderaan, tetapi terus ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan.

Sementara itu, Lim berkata, sesi dialog antara penduduk dengan polis adalah langkah permulaan bagi menjalin kerjasama erat dengan pihak berkuasa.

“Dialog itu diadakan atas kesedaran penduduk bahawa tugas membanteras jenayah tidak harus dibebankan kepada polis sebaliknya orang awam juga perlu tampil membantu untuk keselamatan bersama.

“Orang ramai tidak boleh hanya bergantung kepada polis untuk menangani jenayah, sebaliknya perlu sentiasa membantu pihak berkuasa memantau keadaan persekitaran,” katanya.

Menurutnya, kerjasama erat itu boleh merealisasikan hasrat polis untuk mengurangkan kadar jenayah sekali gus menjaga keselamatan dengan lebih berkesan.

- H/Metro

No comments:

Post a Comment