07 January 2008

Hubungan Pakistan-AS retak

ISLAMABAD 6 Jan. – Tentera Pakistan hari ini dengan marah menyangkal laporan bahawa Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush sedang menimbangkan operasi sulit tentera AS di kawasan puak bersempadan dengan Afghanistan.

Kawasan bergolak di barat Pakistan itu dianggap sebagai tempat perlindungan bagi militan Taliban dan Al-Qaeda yang melancarkan serangan di Afghanistan selain dipercayai menjadi tempat bersembunyi Osama bin Laden.

“Bukan pentadbiran AS tetapi kerajaan Pakistan yang bertanggungjawab terhadap negara ini,” kata ketua jurucakap tentera, Mejar Jeneral Waheed Arshad.

Beliau menegaskan, tidak ada operasi rahsia atau terbuka yang dijalankan oleh tentera AS di Pakistan.

“Kami menyangkal laporan tidak berasas itu,” kata Waheed.

Akhbar New York Times (NYT) di laman webnya malam tadi melaporkan, mengikut satu cadangan yang dibincangkan di Washington, ejen-ejen Agensi Perisikan Pusat (CIA) yang berpangkalan di Afghanistan akan dibenarkan mendapat bantuan tentera secara langsung untuk operasi antipengganas di Pakistan.

NYT yang memetik kenyataan pegawai kanan pentadbiran menyebut, ejen-ejen CIA akan diberi kuasa lebih luas untuk menyerang sasaran di Pakistan.

AS kini menempatkan kira-kira 50 askarnya di Pakistan, menurut laporan itu.

Rancangan baru itu dilapor dibincangkan oleh Naib Presiden, Richard Cheney dan pegawai keselamatan negara berikutan pembunuhan pemimpin pembangkang, Benazir Bhutto pada 27 Disember lalu.

Menurut NYT, Presiden Pakistan Pervez Musharraf tidak dimaklumkan mengenai rancangan tersebut.

Waheed juga menolak kenyataan calon ke White House, Senator Hillary Rodham Clinton bahawa beliau akan mencadangkan pasukan bersama AS-Britain untuk mengawasi keselamatan senjata nuklear Pakistan andainya beliau dipilih menjadi Presiden.

“Kami tidak memerlukan bantuan sesiapa kerana kami cukup berkemampuan menjaga senjata kami sendiri,” tegas jurucakap itu.

– AFP

No comments:

Post a Comment