06 January 2008

DVD seks: Dua lagi ditahan

BATU PAHAT 5 Jan. – Penahanan dua lelaki berusia 50 tahun dan 40 tahun di sini dan Johor Bahru semalam, menjadikan jumlah yang ditahan berhubung pengedaran cakera padat digital (DVD) aksi seks bekas menteri meningkat kepada tiga orang.

Seorang petani warga emas yang berasal dari bandar ini ditahan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

Dia ditahan reman selama tiga hari selepas disyaki terlibat mengedar dan menjual DVD dan cakera padat video (VCD) aksi seks bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek.

Ketua Polis Batu Pahat, Asisten Komisioner Ibrahim Mat Aris berkata, lelaki itu ditahan di sini, semalam selepas mendapat maklumat daripada orang ramai.

Ibrahim memberitahu, polis akan meneruskan siasatan kes itu dan menahan pihak yang terus mengedarkan DVD dan VCD tersebut walaupun telah diberi amaran agar tidak berbuat demikian.

Sementara itu di JOHOR BAHRU, lelaki berusia 40 tahun itu ditahan ketika cuba menjual DVD seks tersebut.

Ketua Polis Johor, Datuk Hussin Ismail berkata, lelaki itu ditahan semalam di sebuah medan selera di Taman Sri Tebrau kira-kira pukul 6 petang.

“Lelaki itu kini direman sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, polis merampas dua keping DVD seks itu bersama lelaki terbabit.

Sebelum ini, polis menahan seorang wanita yang juga pengusaha salon kecantikan berusia 29 tahun kerana terlibat dengan pengedaran dan penjualan DVD kontroversi itu.

- Utusan

No comments:

Post a Comment