JOHOR BAHRU 5 Jan. – Jika sebelum ini sebuah sekolah menengah di Permas Jaya menimbulkan rungutan ibu bapa kerana mengenakan yuran penyelenggaraan tandas, sebuah lagi sekolah menengah di Kota Masai, Pasir Gudang dekat sini turut didapati mengenakan bayaran serupa.
Berselindung di sebalik nama Famicare, bayaran RM3 itu bagaimanapun hanya dikenakan kepada pelajar perempuan, kononnya untuk menyelenggara dan membersihkan tuala wanita.
Seorang bapa yang hanya ingin dikenali sebagai Khalid, 41, berkata, isterinya yang pergi ke sekolah itu pada 1 Januari lalu untuk membayar yuran anak sulungnya yang memasuki tingkatan satu dimaklumkan mengenai perkara itu.
“Guru tersebut bertanya kepada isteri saya sama ada anak kami perempuan atau lelaki. Apabila dimaklumkan anak kami perempuan, isteri diminta membayar yuran ‘Famicare’ itu.
“Guru itu beritahu, bayaran RM3 itu untuk selenggara tandas wanita,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kota Masai di sini.
Beliau berkata, yuran tersebut diasingkan daripada resit bayaran tambahan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan resit rasmi yang dikenakan oleh Kementerian Pelajaran.
Khalid berkata, bukan niatnya untuk mempertikai perkara itu, namun sekiranya ia perlu dikenakan, ibu bapa dan penjaga perlu diberitahu terlebih dahulu mengenainya.
‘Lagipun, boleh guna wang bayaran tambahan PIBG untuk biayai kos selenggara tandas itu,” katanya.
Lebih menyedihkan, katanya, apabila isterinya yang pergi menggunakan tandas sekolah tersebut mendapati keadaannya kotor, pintu rosak dan berbau busuk.
Sementara itu, Pengarah Pelajaran Johor, Mokhy Saidon yang dihubungi Utusan Malaysia meminta supaya pihak sekolah berkenaan memulangkan semula bayaran tersebut dengan segera.
“Saya akan hubungi pengetua sekolah tersebut supaya memulangkan segera bayaran itu dan tidak lagi mengenaikan bayaran serupa pada tahun-tahun akan datang,” katanya.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia menyiarkan rungutan seorang bapa yang dikenali sebagai Abdullah mengenai tindakan sebuah sekolah di Permas Jaya yang mengenakan yuran penyelenggaraan tandas sebanyak RM5 kepada pelajarnya.
Bagaimanapun, pengetuanya telah diarah oleh Jabatan Pelajaran Negeri untuk memulangkan semula bayaran tersebut pada Isnin ini kepada para pelajarnya.
- Utusan
No comments:
Post a Comment