DES MOINES, Iowa 4 Jan. – Senator Barrack Obama, calon Presiden kulit hitam pertama Amerika Syarikat (AS), memulakan langkah bergaya apabila memenangi pemilihan awal negeri Iowa dalam perebutan calon Parti Demokrat bagi pilihan raya Presiden AS 2008.
Kemenangan memberangsangkan itu dicatat di negeri yang penduduknya hampir 100 peratus kulit putih dan mengatasi cabaran Hillary Clinton yang menduduki tempat ketiga.
Sementara itu bagi pemilihan peringkat Parti Republikan, bekas mubaligh Kristian Baptist, Mike Huckabee berjaya mencatat kemenangan dengan sokongan gereja-gereja Kristian.
Huckabee yang tidak dikenali di luar Arkansas beberapa bulan lalu berjaya mengetepikan cabaran Mitt Romeny yang membelanjakan berjuta-juta dolar semasa kempen.
Obama, 46, anggota Senat penggal pertama dari Illinois mencapai kemenangan berikutan kempennya supaya dilakukan perubahan di Washington.
Beliau berjaya memperoleh 37 peratus sokongan penduduk Iowa, diikuti Senator John Edwards dari Carolina Utara dan bekas wanita pertama AS, di tempat ketiga.
Hillary turut menghubungi Obama untuk mengucapkan tahniah kepada Senator kulit hitam itu.
Pengurus kempen Hillary, Patti Solis Doyle berikrar, “Persaingan baru bermula malam dan berakhir apabila seluruh ahli Demokrat di seluruh AS menyatakan pilihan masing-masing.”
Tambahnya, “Kempen ini adalah satu marathon dan kami mempunyai sumber untuk perebutan peringkat nasional pada minggu-minggu mendatang.”
Sementara itu, Edwards berkata, beliau akan memberi tentangan sengit semasa pemilihan di negeri New Hampshire yang bermula Selasa depan.
Kekalahan ini merupakan tamparan kepada Hillary dan Romney yang merupakan pendahulu pungutan suara di Iowa.
Obama juga dikatakan mempunyai kelebihan semasa memasuki persaingan di New Hampshire berikutan kemampuannya memberikan saingan paling sengit terhadap Hillary semasa kempen.
Kedudukan Romney yang lemah pula dijangka memberi kelebihan kepada John McCain dalam persaingan di New Hampshire memandang Huckabee tidak mendapat sokongan kuat di negeri barat laut AS ini.
Demokrat juga dijangka memberi kelebihan semasa pilihan raya Presiden pada November ini memandangkan populariti Presiden George W. Bush yang rendah di negeri ini berikutan kritikan terhadapnya dalam perang di Iraq.
Lebih separuh daripada daripada kumpulan penyokong Demokrat menyatakan, kemampuan calon membawa perubahan yang diperlukan menjadi faktor penting semasa mereka membuat keputusan.
Dianggarkan 220,588 penyokong Demokrat menyertai pemilihan peringkat parti kali ini dengan Obama turut mendapat sokongan yang kuat di kalangan pengundi wanita berbanding Hillary apabila secara kasar mendapat 40 peratus undi.
Edwards pula mendapat sokongan besar di kalangan ahli veteran parti Obama dan Hillary masing-masing memperoleh satu perempat.
– AP
No comments:
Post a Comment