KULIM: Tindakan berani tiga pekerja stesen minyak di Sungai Seluang, Lunas dekat sini, mengejar kereta dinaiki dua lelaki dan seorang wanita, berjaya membongkar kegiatan sekumpulan penipu yang menggunakan wang kertas palsu RM100.
Penangkapan suspek itu membawa kepada penemuan polis not RM100 disyaki palsu bernilai lebih RM2,000 yang dipercayai cuba digunakan di pelbagai premis perniagaan di utara tanah air.
Dalam kejadian itu, seorang daripada tiga pekerja stesen minyak itu turut cedera pada kedua belah tangan serta telinga kiri akibat ditikam senjata tajam dalam pergelutan dengan seorang daripada suspek.
Menurut sumber, kejadian bermula di stesen minyak Petronas di Sungai Seluang, Lunas, kira-kira jam 11 malam apabila pekerja stesen minyak terbabit sibuk melayan pelanggan yang ramai.
Beliau berkata, ketiga-tiga suspek berusia dalam lingkungan 20-an itu menaiki kereta berhenti untuk mengisi minyak sebelum seorang wanita pergi ke kaunter bayaran dan menyerahkan wang kertas RM100 untuk mengisi minyak penuh tangki.
“Ketika kejadian, keadaan di kaunter sangat sibuk dan pekerja stesen minyak tidak memeriksa duit berkenaan, sebaliknya menyuruh ‘pelanggan’ itu mengisi minyak sambil mencatatkan nombor pendaftaran kereta itu untuk memulangkan baki,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, pekerja kaunter terbabit mula mengesyaki sesuatu apabila kereta berkenaan terus memecut sebaik selesai mengisi minyak tanpa mengambil wang baki.
Katanya, pekerja terbabit mendapati not RM100 itu palsu selepas diperiksa menggunakan alat pengimbas dan memaklumkan majikannya.
Katanya, majikan bersama tiga pekerja lelaki mengejar kenderaan itu sebelum terserempak dengan kenderaan suspek kira-kira 10 kilometer dari stesen minyak.
Sumber itu berkata, mereka bertindak nekad menahan kereta suspek sebelum berlaku pertengkaran dan pergelutan antara dua suspek lelaki dengan tiga pekerja stesen minyak berkenaan.
“Seorang daripada suspek mengeluarkan senjata tajam lalu menikam seorang daripada pekerja.
“Selepas pergelutan selama beberapa minit itu, majikan dan pekerja stesen minyak terbabit berjaya menahan semua suspek dan melaporkan kejadian kepada polis,” katanya.
Katanya, pekerja stesen minyak yang cedera dihantar ke Hospital Kulim untuk rawatan dan mendapat hampir 20 jahitan pada lukanya.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Ghuzlan Saleh, berkata hasil pemeriksaan polis menemui wang palsu RM100 bernilai lebih RM2,000 dalam kereta suspek yang dipercayai berasal dari Ipoh.
“Kami menjalankan siasatan lanjut ke atas tiga-tiga suspek sama ada mereka terbabit dengan sindiket pengedaran wang palsu.
“Modus operandi mereka ialah menjadikan stesen minyak yang sibuk sebagai sasaran kerana lebih mudah ditipu,” katanya.
Katanya, ketiga-tiga suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut.
- H/Metro
No comments:
Post a Comment