TASEK GELUGOR: Walaupun sudah 50 tahun negara merdeka, tiga keluarga di Kubang Menerong B di sini, masih menggunakan air perigi untuk mandi manakala pakaian seragam sekolah dibasuh menggunakan air hujan.
Tiga keluarga terbabit yang menetap kira-kira 100 meter dari jalan utama menggunakan air perigi sejak 30 tahun lalu dan jika memerlukan air bersih untuk minum dan memasak, mereka terpaksa menagih simpati jiran serta saudara-mara.
Seorang penduduk, Zamri Ahmad, 40, berkata mereka terpaksa menggunakan air perigi yang keruh dan berbau berikutan tiada pilihan lain sedangkan kedudukan rumah mereka tidak jauh dari jalan utama.
“Sudah beberapa kali kami meminta bekalan air paip dan sudah membayar RM50 kepada kontraktor hampir setahun lalu untuk urusan berkenaan.
“Sebelum ini, kontraktor terbabit mengambil gambar dan membuat ukuran, tetapi setakat ini tiada perkembangan. Kami hairan kerana kedudukan rumah kami tidak jauh dari jalan dan Bandar Putra Bertam,” katanya.
Menurut Zamri, baju sekolah anaknya serta pakaian putih lain menjadi kekuningan kerana dibasuh dengan air perigi menyebabkan dia terpaksa menadah air hujan untuk kegunaan harian.
Nasir Mat Isa, 26, pula berkata, mereka juga terpaksa mengangkut air paip dari rumah jiran di seberang jalan setiap kali mengadakan majlis kenduri.
“Keadaan menjadi lebih buruk apabila hujan kerana air telaga menjadi keruh seperti teh susu,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin, ketika dihubungi berkata beliau sudah melawat rumah keluarga berkenaan kerana berada dalam senarai 400 penduduk yang menunggu bekalan air paip.
“Kerja pemasangan paip masih dalam proses kerana ia membabitkan banyak rumah dan bukan hanya tiga keluarga berkenaan saja,” katanya.
“Saya akan menyemak semula supaya kerja pemasangan paip berjalan termasuk di kampung itu," katanya.
- H/Metro
No comments:
Post a Comment