JOHOR BAHRU 11 Jan. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenggaroh, Datuk S. Krishnasamy mati ditembak di dalam lif bangunan MIC Johor di Jalan Segget di sini hari ini.
Mayat Krishnasamy, 62, yang berlumuran darah ditemui dalam keadaan tertiarap di dalam lif itu kira-kira pukul 2.10 petang.
Terdapat kesan tembakan pada kepalanya di bawah mata kiri.
Kejadian itu berlaku ketika mangsa yang juga Timbalan Pengerusi MIC Johor mahu ke tingkat dua bangunan berkenaan untuk menghadiri mesyuarat Badan Perhubungan MIC Johor.
Ia berlaku beberapa minit selepas beliau menjamu selera bersama para pemimpin MIC tempatan di sebuah restoran di Jalan Trus berdekatan bangunan MIC itu.
Beberapa saksi mendakwa mereka melihat seorang lelaki berusia 20-an tergesa-gesa melarikan diri menaiki motosikal sejurus bunyi tembakan kedengaran.
Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mokhtar Mohd. Shariff berkata, polis menerima panggilan orang awam pada pukul 2.20 petang memaklumkan mengenai penemuan mayat seorang lelaki dalam lif bangunan enam tingkat itu.
Krishnasamy dipercayai ditembak dari jarak dekat.
“Polis bergegas ke tempat kejadian dan mendapati mayat wakil rakyat itu tertiarap dalam lif bangunan itu,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Ini adalah kejadian kedua seorang wakil rakyat mati ditembak dalam tempoh 10 tahun lalu.
Pada 4 November 2000, ADUN Lunas, Kedah, Dr. Joe Fernandez, 54, mati ditembak oleh seorang pembonceng motosikal ketika memberhentikan keretanya di satu persimpangan lampu isyarat di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Menurut Mokhtar, satu pasukan khas ditubuhkan bagi menyiasat kes itu dan mereka
memulakan siasatan dari pelbagai sudut termasuk mengenal pasti punca dan motif pembunuhan tersebut.
“Beberapa anggota polis yang terdiri daripada pegawai kanan telah memulakan siasatan kes ini. Setakat ini belum ada tangkapan dibuat,” jelasnya.
Ditanya adakah pembunuhan Krishnasamy bermotif politik, Mokhtar berkata:
“Polis masih menyiasat kes ini dan kita minta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi yang hanya akan mengganggu siasatan.”
Anak perempuan mendiang, K. Rani, 34, yang ditemui di lokasi kejadian kelihatan sebak dan menangis berikutan kejadian tersebut.
Katanya, mayat bapanya dibawa ke rumah mayat Hospital Sultanah Aminah di sini untuk dibedah siasat.
Sementara itu, Ketua MIC Cawangan Taman Datuk Cheelam Tebrau di sini, S. Arumugam adalah antara orang yang sempat makan tengah hari bersama mendiang sebelum kejadian itu.
“Kami serta beberapa pemimpin MIC lain sempat makan tengah hari bersama-sama mendiang yang makan nasi campur dan air kosong. Dia minta diri lebih awal kerana hendak menghadiri mesyuarat,” katanya.
Menurut Arumugam, sebaik sahaja kereta mendiang tiba di bangunan MIC, beliau terdengar bunyi tembakan.
Orang ramai yang berada di sekitar bangunan MIC itu gempar dengan pembunuhan wakil rakyat itu.
Kejadian kira-kira pukul 2 petang itu menyebabkan keadaan kelam kabut kerana orang ramai berpusu-pusu mengerumuni bangunan tersebut.
Menurut seorang saksi, V. Kamala, 45, kejadian itu berlaku ketika beliau berada di tingkat enam bangunan berkenaan.
“Saya terkejut apabila terdengar bunyi tembakan. Dengan pantas saya turun menggunakan tangga.
“Seorang lelaki memberitahu dia nampak seorang lelaki terbaring berlumuran darah di dalam lif,” katanya yang bekerja sebagai kerani di pejabat MIC itu.
Katanya, Ketua Puteri MIC Johor, R. Vithiyamohan turut berada di situ.
Mereka kemudian meminta lelaki berkenaan segera menelefon polis bagi memaklumkan kejadian itu.
Sementara itu, Ketua MIC Bahagian Seri Gading, S. Murugan berkata, beliau yang berada dalam bangunan tersebut semasa kejadian turut terdengar bunyi tembakan.
“Saya diberitahu ada seorang lelaki berusia awal 20-an melarikan diri dari bangunan MIC selepas kejadian itu berlaku.
“Bagaimanapun, saya tidak saksikan kejadian itu kerana saya ketika itu berada di tingkat dua,” katanya.
Antara yang meninjau tempat kejadian itu petang ini ialah Pengerusi MIC Johor, Datuk K.S. Balakrishnan; Timbalan Pengerusi MCA Johor, Freddie Long Hoo Hin dan Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Naim Nasir.
- Utusan
No comments:
Post a Comment