30 December 2007

Ditembak atau terhentak? -- Punca kematian Benazir cetus pertikaian

MERUSUH...Penyokong Benazir Bhutto yang berang terus merusuh dan membakar harta benda awam di Multan, semalam. Gambar kecil atas yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri Pakistan menunjukkan penutup bahagian atas bumbung kenderaan yang dikatakan punca kematian pemimpin itu apabila kepalanya didakwa terhentak, manakala, gambar kecil bawah ialah tempat duduk kereta yang dinaiki Benazir berlumuran darah. - Reuters.


ISLAMABAD 29 Dis. – Persoalan mengenai punca kematian Benazir Bhutto sama ada akibat ditembak di kepala atau tengkorak retak kerana terhentak, telah menimbulkan pertikaian besar antara penyokong bekas Perdana Menteri itu dengan kerajaan.

Percanggahan laporan berkenaan dijangka menyemarakkan keganasan negara berkuasa nuklear itu, dua hari selepas pemimpin wanita itu dibunuh dalam serangan bom berani mati.

Parti Rakyat Pakistan (PPP) yang diterajui Benazir, hari ini menolak penjelasan kerajaan bahawa kematian pemimpinnya adalah disebabkan kepalanya terhentak pada penutup atas bumbung kereta yang dinaiki ketika cuba tunduk dari serangan bersenjata dan bom berani mati, Khamis lalu.

Malah, PPP menyifatkan kenyataan itu sebagai sesuatu yang tidak masuk akal dan menganggapnya helah kerajaan untuk mengaburi kejadian sebenar.

Para pembantu bekas Perdana Menteri itu juga meragui pemimpin militan Islam, Baitullah Mehsud menjadi dalang pembunuhan seperti yang dinyatakan oleh kerajaan Presiden Pervez Musharraf.

Kenyataan PPP itu diperkuatkan lagi oleh penjelasan pembantu peribadi Benazir, Sherry Rehman yang mendakwa beliau melihat luka akibat tembakan di kepala Benazir.

Peguam Benazir yang juga salah seorang pegawai tertinggi PPP, Farooq Naik turut mendakwa terdapat tembakan peluru kedua di bahagian perut Benazir.

Semalam, jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Brigedier Jeneral Javed Cheema berkata, punca kematian Benazir adalah disebabkan kepalanya terhentak pada penutup bahagian atas bumbung kereta ketika cuba tunduk dari serangan bom berani mati itu serta menafikan sebarang penemuan kesan luka akibat tembakan.

Beliau menambah, Benazir mungkin masih hidup jika beliau tidak mengeluarkan kepalanya dari bumbung kereta itu ketika kejadian.

Sherry yang juga jurucakap Benazir, mendakwa beliau turut terlibat memandikan mayat bekas Perdana Menteri itu.

“Saya adalah antara mereka yang terlibat memandikan mayat beliau sebelum pengebumian dan saya melihat ada kesan luka akibat tembakan di bahagian kiri, belakang kepalanya yang tembus ke bahagian depan, ia adalah satu kesan luka yang besar.

“Malah kami tidak boleh membasuh mayat secara terurus kerana luka tersebut masih mengalirkan darah, beliau kehilangan banyak darah,” kata Sherry yang turut menyatakan kereta miliknya telah digunakan untuk menghantar Benazir ke hospital.

“Saya berada di dalam kereta di belakang kenderaan yang dinaiki Benazir selepas tamat perarakan itu apabila tiba-tiba seorang lelaki melepaskan tembakan.

“Bagaimanapun saya tidak nampak penyerang tersebut kerana sedang memandang ke arah lain ketika kejadian itu,’’ kata beliau sambil menambah kawasan tersebut secara tiba-tiba dikelilingi oleh mereka yang tidak dikenali memakai lencana Benazir.

“Pihak hospital telah diarah supaya mengubah kenyataan sebenar dan helah ini ternyata sesuatu yang tidak masuk akal sebagai mengaburi kejadian sebenar,” tambah beliau.

Pada masa sama pergerakan Al-Qaeda yang kini menjadi suspek utama pembunuhan Benazir, tetap menafikan bahawa mereka terlibat dalam pembunuhan itu.

“Ini adalah konspirasi antara pihak kerajaan, tentera dan agensi perisikan selepas gagal memberi perlindungan kepada Benazir,” kata jurucakap Al-Qaeda dari Waziristan, Maulana Umar.

Khamis lalu, sejurus kejadian serangan bom, pihak berkuasa menyatakan Benazir mati akibat dua tembakan yang menembusi bahagian leher dan dadanya tetapi mengubahnya kepada mati akibat terhentak semalam.

Benazir dibunuh kelmarin selepas selesai menyampaikan ucapan pada satu perhimpunan sempena kempen pilihan raya di Rawalpindi dalam satu serangan berani mati oleh seorang lelaki yang melepaskan tembakan ke arah beliau sebelum meletupkan dirinya.

Keadaan huru-hara berterusan akibat pembunuhan Benazir yang kini semakin meruncing turut menimbulkan persoalan sama ada pilihan raya yang sepatutnya diadakan pada 8 Januari depan patut diteruskan.

– Agensi

No comments:

Post a Comment