SHAH ALAM: "Kamu tanggung anak-anak dengan hasil mencuri?" itulah pertanyaan Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Azimah Omar sebelum menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan lapan sebatan terhadap warga Indonesia yang mengaku bersalah merompak seorang ahli perniagaan wanita di Gombak, membabitkan kerugian lebih RM80,000.
Azimah bertanya demikian kerana tidak puas hati dengan jawapan tertuduh, Muhammad Nordin, 30, bahawa dia bekerja sambilan di negara ini termasuk menjadi penoreh getah di Johor demi menyara keluarga dan dua anak di Pekan Baru, Indonesia.
Hakim mempersoalkan bagaimana tertuduh boleh bekerja di negara ini sedangkan dia tidak mempunyai sebarang permit bekerja yang sah.
"Mengikut rekod pasport, kamu kerap keluar dan masuk ke negara ini sejak 10 Oktober 2006 hingga 26 Oktober 2007 dan hanya tinggal beberapa hari saja (di Malaysia).
"Misalnya, kamu masuk pada 10 Oktober 2006 dan keluar pada 18 Oktober 2006. Kamu juga masuk semula pada 19 Januari dan keluar pada 9 Februari dan terakhir sekali kamu masuk ke negara ini 26 Oktober lalu.
"Persoalannya apa tujuan kamu kerap keluar masuk ke Malaysia sedangkan kamu tiada kerja," katanya.
Azimah menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan salah tertuduh.
"Kesalahan kamu amat serius. Kamu dan rakan begitu berani masuk dan merompak rumah walaupun ada pengawal keselamatan. Ini jelas menunjukkan kamu begitu berani dan tidak menghormati undang-undang negara ini.
"Rompakan dilakukan warga asing Indonesia banyak dilaporkan. Dalam kes ini mangsa rugi lebih RM80,000 dan ia nilai yang tinggi.
"Orang seperti kamu perlu dimasukkan ke penjara untuk tempoh lama supaya tidak mengulangi kesalahan pada masa depan dan menghormati undang-undang negara ini," katanya.
(H/Metro)
No comments:
Post a Comment