21 December 2007

21.12.07 - Amaran tahap merah -- Hujan lebat dengan angin kencang sehingga 60 kilometer sejam

KUALA LUMPUR 20 Dis. – Ketika negeri-negeri di Pantai Timur dan Johor bersiap sedia menghadapi gelombang kedua banjir ekoran air pasang besar yang diramal melanda mulai malam esok, amaran hujan lebat peringkat merah pula dikeluarkan bagi kawasan Johor Utara hari ini.

Kawasan Johor Utara meliputi Muar, Batu Pahat Utara, Segamat, Kluang dan Tangkak Utara yang teruk terjejas dalam banjir besar tahun lalu.

Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) yang mengeluarkan amaran peringkat merah itu meramalkan hujan sederhana kadangkala lebat dijangka berterusan sehingga esok dengan membawa angin kencang.

Menurut laman web jabatan itu, amaran peringkat merah kebiasaannya membawa angin kencang sehingga 60 kilometer (km) sejam yang boleh menerbangkan bumbung rumah. Fenomena itu juga menyebabkan kawasan rendah dan berdekatan sungai mengalami banjir.

Bagaimanapun, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah meminta rakyat agar jangan panik sekiranya berlaku gelombang kedua banjir kerana segala persiapan telah dilakukan oleh kerajaan.

Titah baginda, apa yang perlu dibuat oleh orang ramai ialah bersabar dan mengikut arahan pihak berkuasa andai kata bencana alam itu berulang.

Setakat ini, menurut baginda, semua kelengkapan di pusat-pusat pemindahan banjir di Pahang adalah mencukupi dan mampu menampung keperluan mangsa.

‘‘Saya mendoakan agar banjir gelombang kedua tidak berlaku, rakyat juga diminta tidak panik kerana situasi banjir sedang ditangani dengan sebaik mungkin,” titah baginda yang ditemui ketika membantu pihak berkuasa menghantar bekalan kepada penduduk Pekan yang terlibat dengan banjir di Pahang, hari ini.

Pahang, negeri yang paling teruk dilanda bencana alam itu tahun ini, diramal mengalami gelombang kedua banjir yang lebih buruk ekoran fenomena air pasang besar mulai Ahad ini.

Fenomena air pasang diramal bermula di laut esok dan bertukar menjadi besar antara 23 dan 26 Disember ini.

Sehingga kini, seramai 27,320 mangsa banjir di Pahang, Kelantan, Kedah dan Johor ditempatkan di pusat-pusat pemindahan sementara.

Dalam pada itu, JMM turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama yang berbahaya kepada bot-bot kecil dan semua aktiviti rekreasi laut.

Menurut jabatan itu lagi, angin kencang timur laut pada kelajuan 40 km hingga 50 km sejam dengan ombak mencecah ketinggian 3.5 meter berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sarawak, Labuan dan Sabah Barat serta dijangka berterusan sehingga 29 Disember ini.

Selain itu, kawasan pantai di Pantai Timur Semenanjung dan barat Sarawak terdedah kepada kejadian kenaikan paras air akibat fenomena air pasang besar yang juga dijangka berterusan hingga 29 Disember.

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor mengingatkan para penduduk yang tinggal di kawasan rendah supaya bersiap sedia untuk berpindah sekiranya berlaku fenomena air pasang besar.

Menurut Pengarahnya, Chong Chee Han, lazimnya kawasan yang dikenal pasti terjejas setiap kali fenomena itu berlaku ialah Kampung Laut di Skudai, kawasan Kempas dan Pasir Gudang.

Penduduk sekitar Muar, Batu Pahat, Pontian dan Mersing juga dinasihatkan agar berhati-hati dan tidak mendekati kawasan pantai ekoran fenomena itu.

JMM juga telah mengeluarkan amaran peringkat jingga bagi kawasan Johor Selatan dan Pahang Selatan.

Amaran peringkat jingga dikeluarkan bagi persiapan menghadapi kemungkinan hujan monsun sederhana selama beberapa jam yang disertai angin kencang dengan kelajuan angin 50km hingga 60km sejam.

(Utusan)

No comments:

Post a Comment