KUALA LUMPUR: "Doakan jodoh saya panjang," kata pelakon drama popular, Jasmiah Abd Hamid, 33, atau nama komersialnya, Jasmin Hamid, ketika diminta mengulas mengenai penarikan balik permohonan cerai terhadap suaminya, Ian Rashid Macquistan, 35, di Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam.
Jasmin yang enggan mengulas lanjut mengenai keputusan penarikan balik permohonan cerai itu hanya memaklumkan dia kini sudah berbaik semula dengan suami yang dinikahinya pada 15 Januari 2000 itu.
"Tidak ada apa yang hendak dikatakan, cuma saya sudah berbaik semula dengan suami. Keputusan berbaik semula dibuat atas faktor peribadi dan tidak lebih daripada itu," katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, semalam.
Difahamkan penarikan balik permohonan perceraian itu dilakukan peguam Zulkifli B C Yong selepas kes anak guamnya yang sebelum ini dipanggil untuk sebutan semula dirujuk mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984.
Tarikh semalam yang ditetapkan untuk Hakim Syarie Abdul Shukor Abd Hamid mendengar permohonan perceraian pelakon terbabit bertukar sebaliknya apabila kedua-dua pihak menyelesaikan masalah dihadapi secara baik di luar mahkamah.
Berdasarkan kepada persetujuan mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984, apabila permohonan dibuat satu pihak, ia memerlukan satu pihak lain memberi persetujuan.
Bagaimanapun sebaliknya, kalau satu pihak tidak bersetuju mahkamah akan melantik jawatankuasa pendamai dan jika gagal mahkamah melantik dua hakam sebagai jalan terakhir dan masing-masing mewakili setiap pihak.
Terdahulu, sekumpulan wartawan yang membuat liputan berhubung kes permohonan perceraian pasangan terbabit pada sebutan semulanya semalam, hampa berikutan ketidakhadiran pasangan itu dan peguam mereka.
Bagaimanapun seorang kakitangan wanita yang bertugas di bahagian kaunter pendaftaran mahkamah terbabit memaklumkan mengenai penarikan balik permohonan perceraian Jasmin terhadap Ian Rashid melalui peguamnya.
Usaha Harian Metro menghubungi Zulkifli untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung penarikan permohonan perceraian itu gagal, sungguhpun dihubungi berulang kali.
Pelakon yang pernah memenangi trofi Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Skrin 1996 (drama Jutawan Segera) itu memfailkan perceraian terhadap suaminya di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur pada 14 November lalu.
Jasmin yang terkenal dengan watak penggoda dan antagonis dalam drama lakonannya melangsungkan perkahwinan dengan Ian Rashid pada 15 Januari 2000 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Ian Haziq, 6.
Jasmin yang beraksi dalam tiga projek drama baru iaitu Dilema Wanita, Diari Datin dan drama bersiri keluarga Bong turut mempunyai dua lagi anak angkat dipelihara ibunya, Rohana, 21, dan Lokman Hakim, 12.
(H/metro)
No comments:
Post a Comment