17 December 2007

17.12.07 - Suspek komplot letup pesawat Britain bolos kawalan polis Pakistan

ISLAMABAD 16 Dis. – Seorang suspek warga Britain dalam komplot untuk meletupkan pesawat penumpang dari negara itu ke Amerika Syarikat (AS) melarikan diri dari tahanan polis di Pakistan.

Jurucakap polis, Khalid Pervez berkata, Rashid Rauf melarikan diri semalam selepas dihadapkan ke sebuah mahkamah di sini.

Polis melancarkan operasi di bandar ini untuk menjejaki Rashid yang berjaya membuka garinya dan melepasi kawalan dua anggota polis yang hendak membawanya balik ke penjara di bandar berdekatan, Rawalpindi.

“Kami tidak mengetahui bagaimana sebenarnya dia boleh melarikan diri tetapi dua anggota polis berkenaan telah ditahan kerana cuai menjalankan tugas,” kata Khalid.

Setiausaha Dalam Negeri Persekutuan, Kamal Shah berkata, beliau telah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan telah mengarahkan siasatan lanjut.

Rashid yang berketurunan Pakistan ditangkap di sini pada Ogos 2006 berdasarkan maklumat daripada penyiasat Britain.

Dia digambarkan sebagai suspek utama dalam apa yang dikatakan sebagai komplot untuk meletupkan jet penumpang dari Britain ke AS.

Komplot itu mendorong pihak berkuasa mengeluarkan amaran keselamatan di lapangan terbang di seluruh dunia dan mengenakan larangan ketat terhadap barang yang boleh dibawa naik ke dalam pesawat.

Rashid ditangkap dan didakwa di Pakistan kerana memiliki bahan kimia yang boleh digunakan untuk membuat bahan letupan dan juga membawa dokumen perjalanan palsu.

Pendakwa raya kemudian menarik balik kes itu tetapi Rashid terus dipenjarakan sementara menantikan keputusan mengenai permintaan ekstradisi daripada pihak berkuasa Britain.

London telah meminta Pakistan mengekstradisi suspek itu berhubung siasatan kes bunuh di Britain pada 2002.

Namun peguam Rashid, Hashmat Habib cuba menyekat langkah itu dengan berkata, kedua-dua negara tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dan Rashind telah pun didapati tidak bersalah.

– AP

No comments:

Post a Comment