17 December 2007

17.12.07 - Dakwaan pelajar khayal hidu tahi ayam disiasat

KUCHING 16 Dis. – Bolehkah seseorang itu menjadi khayal dengan menghidu tahi ayam?. Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sarawak Jasni Jubli ingin mencari jawapannya.

Beliau akan menyiasat dakwaan seorang timbalan menteri Persekutuan bulan lepas bahawa ada sesetengah pelajar di negeri ini yang menghidu tahi ayam supaya menjadi khayal sekiranya mereka tidak memperoleh gam.

“Ini perkara baru bagi saya tetapi di pihak AADK kami akan berusaha mencari jawapannya dan jika terbukti benar, kami akan mengambil langkah pencegahan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Jasni berkata, agak sukar untuk membuktikan dakwaan seperti itu memandangkan kajian perlu dilakukan berdasarkan bukti saintifik yang mengaitkan tahi ayam dengan menjadi khayal.

Beliau berkata, jika tahi ayam boleh mendatangkan kesan buruk sama seperti gam, adalah sukar untuk mengambil tindakan memandangkan tiada peruntukan undang-undang untuk mengharamkan perbuatan menghidu tahi ayam, sama seperti dalam kes menghidu gam.

Berdasarkan keadaan biasa, pihak berkuasa boleh menahan golongan seperti itu sekiranya mereka mengganggu ketenteraman awam.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Dr. Tiki Lafe dipetik oleh sebuah akhbar tempatan baru-baru ini sebagai berkata, beberapa pelajar yang terdesak telah beralih kepada menghidu tahi ayam.

Ketika membuat kenyataan yang mengejutkan itu di majlis penyampaian anugerah tahunan kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum Sekolah Daerah Bau, beliau malah mendakwa beberapa pelajar turut ponteng sekolah untuk

‘mengadakan parti di dalam belukar’ dengan membawa berbotol-botol ‘langkau’ sejenis minuman tempatan yang mengandungi alkohol, yang dibawa bersama dalam beg sekolah mereka.

– Bernama

No comments:

Post a Comment