18 December 2007

18.12.07 - 31 terbabit perhimpunan haram dibebas, dilepas tuduhan cubaan bunuh

SHAH ALAM 17 Dis. - Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini melepaskan dan membebaskan 31 orang atas dakwaan cubaan membunuh seorang pegawai polis semasa perhimpunan haram anjuran Hindu Rights Action Force (Hindraf) di hadapan Kuil Sri Subramaniar, Batu Caves, Kuala Lumpur pada 25 November lepas.

Hakim Nursinah Adzmi membuat keputusan itu setelah membenarkan permohonan Peguam Negara (AG), Tan Sri Abdul Gani Patail yang memutuskan untuk menarik balik pertuduhan itu terhadap mereka.

Kesemua 31 tertuduh sebelum ini minta dibicarakan atas beberapa pertuduhan termasuk tuduhan cubaan membunuh mengikut Seksyen 149/307 Kanun Keseksaan itu.

Bagaimanapun, daripada 31 orang itu, hanya enam orang iaitu lima penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan seorang penuntut maktab perguruan dilepaskan dan dibebaskan daripada kesemua pertuduhan, sementara baki tertuduh yang lain masih menghadapi beberapa pertuduhan lain.

Enam orang yang dilepas dan dbebaskan daripada kesemua pertuduhan ialah L. Thiyagarajan, 31; K. Thinagaranpillay, 23; A. Vasantarao, 19; S. Ramesh Kumar, 22; S. Mugilan Dever, 20; dan G. Suman, 20.

Daripada baki 25 tertuduh, 16 orang menukar pengakuan kepada bersalah terhadap tuduhan menyebabkan kerosakan tujuh buah kereta dan dua pintu pagar kuil itu mengikut Seksyen 149/440 Kanun Keseksaan.

Lapan orang pula menukar pengakuan kepada bersalah terhadap dua pertuduhan iaitu menyebabkan kerosakan tujuh buah kereta dan dua pintu pagar kuil itu dan mengikut Seksyen 27 (5) (a) Akta Polis 1967 iaitu dijumpai dalam perhimpunan haram terbabit.

Sementara seorang tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah terhadap tuduhan pilihan menunjukkan kekerasan jenayah dengan niat untuk menakutkan pegawai polis semasa perhimpunan haram itu.

Dalam prosiding kira-kira 45 minit yang berakhir pada pukul 1 tengah hari itu, Hakim Nursinah menetapkan 27 Disember ini untuk fakta dan hukuman terhadap kesemua tertuduh.

Mahkamah juga membenarkan kesemua tertuduh, masing-masing dibebaskan dengan ikat jamin RM500 dengan seorang penjamin.

Keputusan Hakim Nursinah yang membenarkan jaminan jelas melegakan anggota keluarga tertuduh yang terpaksa bersesak-sesak memenuhi mahkamah sejak awal pagi.

Peguam K. Ragunath yang mewakili pihak pembelaan bagi semua tertuduh kemudian mengucapkan terima kasih kepada mahkamah dan Peguam Negara berhubung keputusan menggugurkan dakwaan cubaan membunuh terhadap kesemua tertuduh dan keputusan untuk melepaskan dan membebaskan lima penuntut terbabit daripada kesemua pertuduhan.

- Bernama

No comments:

Post a Comment