16 December 2007

16.12.07 - Hanya khabar angin -- Tiada perhimpunan orang Melayu, India hari ini – PM

KUALA LUMPUR 15 Dis. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menafikan sekeras-kerasnya khabar angin kononnya orang Melayu akan berhimpun di Kampung Baru dekat sini dan orang India di Batu Caves, Selangor, esok.

Perdana Menteri berkata, rakyat tidak seharusnya terpengaruh dengan khabar angin yang sedang berlegar terutama di ibu negara sekarang berhubung perkara tersebut kerana ia tidak benar.

‘‘Semua ini hanya khabar angin sahaja. Orang Melayu tidak ada kata hendak buat apa-apa perhimpunan di Kampung Baru, esok... tak ada. Jangan percaya. Itu hanyalah khabar angin sahaja.

‘‘Kalau penyebaran khabar angin ini terus dilakukan, ia akan menimbulkan keresahan serta kemarahan orang ramai dan akan mencetuskan keadaan yang tidak mudah dikawal. Oleh itu jangan buat cerita yang bukan-bukan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Perdana Menteri mengulas mengenai penyebaran khabar angin melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mendakwa orang Melayu akan mengadakan perhimpunan di Kampung Baru dan orang India di Batu Caves, Selangor esok.

Penyebaran khabar angin mengenai perhimpunan orang Melayu di Kampung Baru dekat sini tersebar sejak tiga minggu lepas namun tidak ada perhimpunan seperti itu diadakan dalam tempoh tersebut.

Meja Berita Mingguan Malaysia turut menerima banyak panggilan hari ini yang bertanyakan tentang kesahihan maklumat SMS yang mereka terima mengenai perkara itu.

Sambil memberi jaminan bahawa keselamatan negara adalah terkawal, Abdullah berkata, penyebaran khabar angin itu menimbulkan keresahan dan menakutkan orang ramai serta akan menjejaskan ekonomi negara.

‘‘Khabar-khabar angin ini disebarkan melalui SMS dan saya menyeru orang ramai agar bertanggungjawab dan tidak terlibat menyebarkan khabar angin berkaitan dengan isu yang ada hubung kait dengan keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.

Perdana Menteri memberitahu, tindakan-tindakan yang kerajaan ambil sebelum ini telah membolehkan keamanan, kestabilan dan ketenteraman awam di negara ini dikekalkan.

Katanya, kerajaan menyedari bahawa terdapat percubaan untuk menggugat ketenteraman awam dan akan terus berwaspada serta mengambil tindakan sewajarnya agar keselamatan negara tidak tergugat.

Perdana Menteri juga menegaskan bahawa demonstrasi jalanan tidak boleh memaksa kerajaan untuk membuat sebarang perubahan terhadap apa juga isu.

Katanya, dasar yang digubal mahupun perubahan kepada dasar sedia ada adalah hasil daripada interaksi dengan rakyat dan mengikut kehendak rakyat yang disampaikan melalui saluran yang betul.

“Kita dengar apa yang persatuan-persatuan nelayan cakap, apa yang persatuan peladang cakap, koperasi cakap, pandangan- pandangan daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), juga daripada pertubuhan lain dan parti- parti politik yang membuat mesyuarat dan usul.

“Sekiranya kerajaan tidak mengambil tindakan sewajarnya untuk mengekalkan kestabilan dan keamanan ini seperti yang diharapkan oleh rakyat, maka kerajaan akan dituduh tidak bertanggungjawab,’’ katanya.

No comments:

Post a Comment