16 December 2007

16.12.07 - Tahanan ISA tidak diberi layanan buruk - Zahid

PETALING JAYA 15 Dis. - Malaysia tidak berlaku zalim atau memberikan layanan buruk kepada mereka yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kata Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Zahid yang pernah ditahan di bawah ISA pada 1998 berkata, sehubungan itu, tuntutan Amerika Syarikat (AS) supaya kerajaan Malaysia berlaku adil kepada lima tahanan ISA terbaharu yang ditahan di Kem Kamunting kerana menjadi dalang perhimpunan haram di ibu negara bulan lepas, tidak berbangkit.

“Layanan di Kem Kamunting lebih baik berbanding layanan yang diberikan oleh Amerika Syarikat terhadap tahanan di Teluk Guantanamo (di AS).

“Kita tidak bertindak zalim hingga sanggup bertindak seperti merantai tahanan, tidak memberi makan dan tidak memberi ruang untuk tahanan beribadat.

"Malah tahanan ISA diberi layanan yang sewajarnya. Saya cakap begini kerana saya juga pernah ditahan di bawah ISA dulu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Perwakilan Koperasi Sejati Berhad di sini.

Zahid berkata demikian merujuk kepada laporan media asing yang memetik Jurucakap Jabatan Negara AS, Sean McCormack sebagai berkata, Malaysia diminta memberikan layanan adil kepada kelima-lima mereka.

McCormack berkata, kelima-lima mereka perlu diberi perlindungan penuh mengikut undang-undang Malaysia berdasarkan hak sebagai warganegara, dan setiap perundangan perlu dilakukan secara cepat dan telus.

Zahid berkata, kelima-lima yang ditahan di bawah ISA itu bukan kerana cuba menyuarakan pandangan mereka, sebaliknya apabila cuba melanggar undang-undang dengan mengadakan demonstrasi jalanan dan menghasut orang ramai.

“Kerajaan sebenarnya telah memberi ruang kepada mereka untuk membuat perhimpunan secara aman di tempat tertutup seperti di stadium sebelum ini, tetapi mereka sendiri menolaknya.

“Ini menunjukkan kita tidak menghalang individu untuk menyuarakan pandangan mereka, tetapi perlu mengikut undang-undang yang ditetapkan oleh kerajaan dan bukannya menerusi demostrasi jalanan,” katanya.

Mereka yang ditahan mengikut ISA Khamis lepas ialah P. Uthyakumar, 46; V. Ganabatirau, 34; M. Manoharan, 46; R. Kengadharan, 40; dan K. Vasantha Kumar, 34.

Mereka didakwa mengetuai kumpulan ekstremis mengadakan perhimpunan haram dengan alasan untuk menyerahkan satu memorandum kepada Suruhanjaya British bagi membantah apa yang didakwanya amalan penghapusan kaum dan peminggiran kaum India di Malaysia.

- Bernama

No comments:

Post a Comment