16 December 2007

16.12.07 - Bukti baru Raja Munirah dianiaya

KUALA LUMPUR 15 Dis. – Peluang Raja Munirah Raja Iskandar bebas daripada tuduhan menyeludup dadah di Jepun semakin cerah berikutan wujud beberapa bukti baru menunjukkan dia dianiaya oleh sindiket dadah.

Peguamnya, Rosal Azimin Ahmad berkata, beberapa bukti terkini yang diperoleh dengan bantuan Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman akan dikemukakan dalam rayuan di Mahkamah Agung Jepun, April depan.

“Kami dapat kerjasama baik daripada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman tetapi bukti yang ada tidak boleh didedahkan kepada umum pada masa ini.

“Kami juga sedang mengemaskini bukti-bukti lama untuk membebaskan Raja Munirah,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Raja Munirah, 22, lulusan Ijazah Komunikasi Massa sebuah kolej swasta di Cyberjaya kini menjalani hukuman penjara tujuh tahun empat bulan di Pusat Tahanan Kosuke, Tokyo.

Episod hitam hidupnya bermula apabila Milad, pemuda Iran yang menuntut di sebuah universiti di Cyberjaya, menawarkannya jawatan pegawai perhubungan awam (PRO) di Jepun dengan gaji hampir RM10,000 sebulan.

Dia diminta menghadiri temu duga di Tokyo seorang diri dan dibelikan sebuah beg besar untuk memuatkan pakaian musim sejuk.

Setibanya di Lapangan Terbang Narita, Tokyo pada 20 Disember tahun lalu, Raja Munirah secara sukarela meminta kastam Jepun mengimbas begnya untuk mempercepatkan pemeriksaan.

Bagaimanapun, 690.80 gram dadah jenis syabu didapati tersembunyi dalam ruang antara lapisan dinding dalam dan kulit beg itu.

Pada 4 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Tokyo menolak rayuan Raja Munirah bagi mengetepikan sabitan kesalahan tetapi mengurangkan 100 hari hukuman penjara.

Rosal Azimin menambah, notis rayuan mengetepikan sabitan kesalahan dan hukuman penjara itu difailkan di Mahkamah Agung Jepun pada 6 Disember lalu.

Dalam pada itu, Rosal Azimin merayu sumbangan orang ramai bagi meringankan beban keluarga gadis malang itu yang memerlukan kira-kira RM20,000 untuk kos mengemukakan rayuan di Mahkamah Agung Jepun.

“Sumbangan pelbagai pihak setakat ini hampir RM9,000,” jelas beliau.

Rakyat Jepun, Takashi Kato, 58 dan isteri, Kaoru Kato, 52, Selasa lalu turut membantu dengan melancarkan derma 20 peratus hasil jualan di kedai mereka di Kuala Lumpur iaitu Opera Fashion Cafe di Plaza Damas, Sri Hartamas dan Kompleks Membeli-belah Bangsar Village, Bangsar Baru.

Orang ramai yang ingin menderma boleh menghubungi bapa Raja Munirah, Raja Iskandar di 017-2672610 atau melalui akaun Bank Rakyat (220591222126) milik ibunya, Karimah Mamat.

(Utusan)

No comments:

Post a Comment