15 December 2007

15.12.07 - Seludup anak kerang, negara rugi RM20j

MELAKA 14 Dis. – Penyeludupan anak kerang dari Malaysia ke Thailand telah menyebabkan negara kerugian kira-kira RM20 juta setahun.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Mohd. Shariff Omar berkata, disebabkan kegiatan itu, Thailand kini berpeluang mengusahakan sendiri industri kerang untuk kegunaan mereka tanpa perlu bergantung kepada import dari Malaysia.

‘‘Sedangkan sebelum ini, Thailand merupakan negara pengimport kerang terbesar dari negara kita, iaitu kira-kira 50 peratus atau RM20 juta setahun,” kata beliau.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Kerang-Kerangan Kebangsaan 2007 di sini, semalam.

Seminar anjuran Jabatan Perikanan Malaysia itu adalah yang pertama kali diadakan dan disertai lebih 100 peserta mewakili pelbagai agensi kerajaan, swasta dan pihak persendirian.

Mohd. Shariff berkata, jika keadaan itu berterusan, bukan sahaja negara mengalami kerugian malah pendapatan pengusaha kerang tempatan juga akan terjejas ekoran permintaan yang berkurangan.

Justeru, tegas beliau, pihaknya melalui agensi berkaitan sudah mengambil pelbagai pendekatan dan pemantauan di semua pintu sempadan khususnya di Padang Besar, Perlis bagi membendung kegiatan tersebut.

Katanya, aktiviti penyeludupan itu berlaku terutama ketika musim pengambilan benih kerang iaitu sekitar April setiap tahun.

Utusan Malaysia difahamkan anak benih kerang terutama dari Selangor dan Perak dilabel paling bermutu tinggi dan sering mendapat permintaan tinggi dari negara jiran.

‘‘Kita tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana individu yang terlibat menyeludup benih kerang dan tindakan tegas termasuk penjara selama dua tahun akan dikenakan di bawah Peraturan-Peraturan Pemilikan Kerang, Akta Perikanan 1985,’’ jelasnya.

Di bawah akta itu, jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda RM5,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Mohd. Shariff berkata, keghairahan para penyeludup membawa masuk anak kerang ke negara jiran itu didorong oleh permintaan yang tinggi dan bayaran lumayan.

Pada masa ini, Malaysia mengeluarkan sebanyak 53,000 metrik tan kerang setahun dengan nilai pasaran RM53.4 juta dan pengeluaran bahan itu dijangka meningkat kepada 130,000 metrik tan dalam tempoh dua tahun akan datang.

Selain Thailand, kata beliau, Singapura dan China merupakan antara negara pengimport kerang terbesar dari negara ini.

Mohd. Shariff kemudian turut melawat Pusat Ternakan Kupang Kampung Sebatu, Merlimau, Jasin.

No comments:

Post a Comment