15 December 2007

15.12.07 - Pendatang Indonesia tertinggi terlibat jenayah

KUALA LUMPUR 14 Dis. – Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati pendatang Indonesia paling ramai terlibat dalam jenayah kekerasan di seluruh negara.

Kebanyakan pendatang Indonesia melakukan jenayah samun, mendatangkan kecederaan, ugutan jenayah, rogol dan bunuh.

Kenyataan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman kepada Utusan Malaysia hari ini mendedahkan, dalam tempoh lapan bulan pertama ini, 712 kes jenayah kekerasan dan 597 jenayah harta seperti curi dan pecah rumah dilakukan pendatang asing republik itu.

Daripada jumlah itu, mereka melakukan 22 jenayah bunuh, 33 rogol, 503 kes samun, 69 mendatangkan kecederaan, 35 ugutan jenayah, 17 peras ugut dan masing-masing 14 merusuh dan mencabul kehormatan.

Bagi jenayah harta benda, 597 kes melibatkan 388 kes curi dalam bangunan, 70 curi motosikal, 64 pecah rumah, 45 ragut, 17 curi kenderaan dan 13 curi motosikal dilakukan pendatang Indonesia.

Sepanjang tahun lalu, pendatang dari Indonesia juga menjadi kumpulan paling ramai melakukan jenayah dengan 1,368 kes jenayah kekerasan dan 916 jenayah harta.

Dalam tempoh lapan bulan pertama ini, warga Filipina dikenal pasti kedua paling ramai melakukan jenayah di negara ini diikuti Vietnam, Myanmar, Bangladesh, Thailand, Pakistan, Nepal, India, Thailand, Arab dan China.

“Jumlah keseluruhan jenayah kekerasan membabitkan pendatang asing sehingga Ogos tahun ini ialah 1,261 kes dan jenayah harta benda 2,443 kes.

“Ini berbanding 2,161 jenayah kekerasan dan 3,857 jenayah harta benda pada tahun lalu.

“Antara faktor penglibatan warga asing dalam kegiatan jenayah ialah tekanan hidup iaitu kesukaran menampung keperluan sara hidup di negara ini,” kata kenyataan itu.

Pada 2006, 1,004 kes samun, 106 mendatangkan kecederaan, 61 ugutan jenayah, 59 bunuh, 39 cabul kehormatan, 37 rogol, 33 peras ugut dan 29 merusuh melibatkan pendatang negara itu.

No comments:

Post a Comment