IPOH 14 Dis. – Permohonan bagi pembebasan M. Mahonaran daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ditetapkan untuk sebutan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Ridwan Ibrahim pada 19 Disember ini.
Ini berikutan writ habeas corpus yang difailkan oleh peguam Ram Karpal Singh dari Tetuan Karpal Singh and Co. di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Turut hadir isteri Manoharan, S. Pushpaneela, 48, dan Pengerusi DAP, Karpal Singh.
Afidavit yang dikemukakan oleh Pushpaneela menamakan Menteri Keselamatan Dalam Negeri dan Penguasa Tempat Tahanan Perlindungan Taiping masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.
Pushpaneela berkata, penahanan suaminya adalah tidak mengikut perlembagaan dan melanggar undang-undang.
Ketika ditemui pemberita kemudian, Karpal berkata, permohonan habeas corpus itu akan menjadi `kes rujukan’ dan menurutnya permohonan serupa akan difailkan sebaik sahaja butiran berhubung empat lagi tahanan diperoleh.
Empat yang lain ialah V. Ganabathirau, P. Uthayakumar, R. Kengadharan dan T. Vasanthakumar.
Manoharan dan empat mereka dikatakan pemimpin kumpulan yang dikenali sebagai Hindu Rights Action Force (Hindraf) yang menganjurkan perhimpunan haram di ibu negara 25 November lepas.
Polis Bukit Aman menahan mereka antara pukul 12.30 malam dan 2.30 pagi mengikut Seksyen 8(1) ISA selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri, menandatangani perintah bagi penahanan itu.
Karpal berkata, beliau datang untuk melawat Manoharan dan Ganabathirau yang juga anggota DAP, sebagai peguam mereka tetapi tidak dibenarkan masuk.
Bagaimanapun Puspaneela dibenarkan berjumpa dengan Manoharan.
“Suami saya okay dan sedang berehat,” katanya selepas keluar dari kem itu.
– Bernama
No comments:
Post a Comment