KUALA LUMPUR, 13 Dis (Hrkh) - Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) melahirkan kebimbangan terhadap tindakan kerajaan yang menjadikan ruang demokrasi semakin kritikal.
Menurut jurucakapnya, Mior Isfandy Mior Azizan, apa yang berlaku kini hanya menguntungkan satu pihak sahaja terutamanya pihak pemerintah.
"Ia termasuk hak untuk bersuara, kebebasan media dan kebebasan akademik, bahkan lebih parah lagi sekiranya semua sekatan ini digunakan sebagai senjata pihak tertentu bagi kepentingan mereka dalam pilihanraya umum tidak lama lagi," demikian menurut kenyataan beliau yang dihantar kepada Harakahdaily.
Sistem demokrasi di Malaysia kini berada pada tahap yang membimbangkan berikutan dalam tempoh beberapa hari sahaja, ramai ahli politik pembangkang dan aktivis rakyat ditangkap, katanya.
Gamis mendakwa justifikasi yang diberikan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berhubung larangan perhimpunan atas alasan ianya haram amat mengecewakan.
"Bahkan ia boleh mencetuskan situasi yang tidak terkawal atau mencetuskan ketakutan di kalangan rakyat Malaysia," tambah Mior.
"Justeru, bagaimana caranya kerajaan atau pihak polis hendak memastikan perhimpunan yang hendak diadakan oleh mana-mana pihak berlangsung dengan aman tanpa sebarang kekacauan dan tidak mempunyai unsur provokatif?" tambahnya lagi.
Gamis berpendapat bahawa tindakan berdemonstrasi atau berhimpun beramai-ramai adalah merupakan satu 'klimaks' untuk menyuarakan pendirian sesuatu pihak selepas saluran-saluran diplomasi telah digunakan sebaik mungkin.
Mengulas mengenai isu permit perhimpunan, Meor berkata, untuk meluluskan sesuatu permit perhimpunan, ia perlu melalui proses penelitian terhadap tujuan dan mekanisme penganjurannya.
"Persoalan siapa yang menganjurkan perhimpunan itu bukanlah satu persoalan yang penting kerana sebagai warganegara Malaysia, hak untuk berhimpun dijamin mengikut lunas perlembagaan," ulasnya.
Mior memberikan contoh perhimpunan Bersih pada 10 November lalu yang memperjuangkan agenda yang tidak bersifat perkauman atau prejudis terhadap mana-mana agama atau untuk memecah belahkan perpaduan rakyat.
Sebaliknya ia merupakan satu agenda rakyat yang menuntut agar pilihanraya umum akan datang berlangsung secara bersih dan adil untuk kebaikan rakyat.
Namun, Gamis keliru dengan sikap dan pendirian pihak polis yang masih tidak membenarkan himpunan tersebut diadakan.
"Bagaimana pihak polis begitu pasti sekiranya himpunan ini diadakan maka negara akan huru hara sehingga tidak meluluskan permit?" ujarnya.
Bahkan ujarnya lagi, pihak polis sendiri seharusnya mengeluarkan satu manual bagi mengadakan perhimpunan yang selaras dengan lunas perlembagaan Malaysia dan hak asasi rakyat.
Sekiranya anggota-anggota polis mahupun FRU hanya dikerah mengawal trafik jalan raya, menjaga keselamatan demonstran dan berdiri memastikan keadaan terkawal, Gamis yakin himpunan tersebut akan berjalan dengan baik dan lancar.
"Tidak perlu kepada semburan air asid, tembakan gas pemedih mata mahupun peluru hidup dan tidak perlu kepada tangkapan penganjur-penganjur demonstrasi," kata Meor./wann
(HarakahDaily)
No comments:
Post a Comment