KUALA LUMPUR, 13 Dis - Beberapa pemimpin Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan telah dibawa ke ibu pejabat polis Bukit Aman hari ini.
Mereka yang ditahan ialah Penasihat Undang-undangnya, P Uthayakumar; peguam M Manoharan, R Kenghadharan, V Ganabatirau dan setiausaha Hindraf, T Vasanthakumar.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengesahkan penahanan tersebut, mengikut Seksyen 8 (1), ISA.
Yang pertama ditahan ialah peguam Kenghadharan, di pejabatnya di Petaling Jaya kira-kira jam 12.30 tengahari oleh sepasukan polis dari Bukit Aman. Polis kemudiannya menahan Ganabatirau di Seremban, manakala Vasanthakumar pula ditahan kira-kira jam 2 petang di Brickfields.
Manakala Pengerusi Hindraf, P Waythmoorthy kini berada di luar negara.
Ganabatirau ditahan oleh sepasukan polis yang diketuai oleh ASP Zairulnain Lamat dari Bukit Aman, kata adiknya, Raidu.
"Bila ditanya mengapa dia ditangkap, beliau berkata ia di bawah ISA," kata Raidu.
Menurutnya lagi, Zairulnain berkata, polis mempunyai maklumat bahawa Hindraf sedang merancang untuk mengadakan satu lagi perhimpunan seperti yang diadakan pada 25 November lalu.
Pihak polis telah mensasarkan para peguam Hindraf sejak beberapa minggu lalu.
Tindakan menahan peguam Hindraf bermula dengan tangkapan ke atas Pengerusinya, P Waythamoorthy, penasihat undang-undangnya, P Uthayakumar dan seorang lagi peguam, V Ganabatirau pada 23 November lalu.
Mereka kemudiannya didakwa di mahkamah di Klang atas tuduhan menghasut.
Kemudian Uthayakumar ditahan sekali lagi dan didakwa atas satu lagi tuduhan menghasut di Kuala Lumpur. Beliau juga kemudiannya ditahan semalaman sebelum dibebaskan semalam tanpa didakwa.
Waythamoorthy dan Ganabatirau juga turut ditahan semula dan dibebaskan selepas beberapa jam ditahan.
Hindraf menjadi sasaran polis selepas menganjurkan ceramah di seluruh negara di mana mereka didakwa membuat ucapan yang berunsur hasutan berhubung peminggiran masyarakat India di negara ini.
Pada 25 November lalu, Hindraf telah menganjurkan perhimpunan di Kuala Lumpur yang dihadiri oleh kira-kira 30,000 orang.
Polis telah menggunakan gas pemedih mata dan tembakan air untuk menyuraikan orang ramai.
Seramai 31 daripada mreka telah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan cubaan membunuh dan sebahagiannya turut menghadapi tuduhan menyertai perhimpunan haram.
Kenghadharan adalah antara peguam yang mewakili mereka yang dihadapkan ke mahkamah tersebut.
Beliau juga adalah salah seorang peguam yang mewakili Uthayakumar yang menghadapi tuduhan menghasut./wann
No comments:
Post a Comment