14 December 2007

14.12.07 - Enam tahun ditahan ISA, GMI akan adakan himpunan 17 Disember ini

KUALA LUMPUR, 13 Dis ( Hrkh) - Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) akan berkumpul di Dataran Suhakam, di Menara Tun Razak, 17 Disember ini bagi menyatakan bantahan terhadap tindakan kerajaan yang masih tidak membebaskan 26 tahanan meskipun setelah enam tahun ditahan di bawah ISA.

Program yang bertemakan 'Wanita Malaysia Prihatin bersama Isteri Tahanan ISA' anjuran Pusat Sokongan Keluarga (PSK) GMI itu dijangka bermula jam 10.30 pagi dan berakhir pada jam 11.30 pagi.

Menurut Jurucakap PSK GMI, Norlaila Osman, program tersebut akan diisi dengan 'short sharing' bersama isteri-isteri tahanan, deklamasi sajak oleh isteri tahanan, dan pertunjukan 'play card' daripada anak-anak tahanan.

Di samping itu, semua wanita yang hadir pada hari tersebut dijangka akan membaca deklarasi Wanita Prihatin yang menentang kezaliman ISA.

"Semua wanita dialu-alukan untuk menyertai program ini. Wanita Malaysia perlu buka mata untuk membantah kezaliman ISA.

"Harapan kami, program ini berjaya sebagai solidariti wanita agar mendesak kerajaan membebaskan kesemua tahanan ISA yang sudah mencecah enam tahun," tegas beliau, yang juga merupakan salah seorang isteri tahanan yang masih ditahan sehingga hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua wanita yang ingin hadir agar tidak bimbang dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku pada program itu kerana wakil Suhakam akan bersama-sama PSK GMI sepanjang program tersebut.

"Justeru, saya berharap ramai wanita yang membenci kezaliman ini hadir pada program tersebut untuk menyatakan sokongan," kata beliau./wann
(HarakahDaily)

No comments:

Post a Comment