14 December 2007

14.12.07 - Murid perempuan, 12, mangsa culik berjaya ditemui

KULIM: Setelah sepuluh hari hilang dipercayai diculik, Nor Amira Mohd Rosdi, 12, ditemui dalam sebuah rumah di Kampung Nagalilit, Padang Serai di sini malam tadi.

Pelajar tahun enam Sekolah Kebangsaan Convent Kulim itu ditemui oleh orang awam di kawasan perumahan itu, yang mengecam wajah kanak-kanak berkenaan yang disiarkan akhbar tempatan sejak berita kehilangannya di laporkan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kulim DSP Ghuzlan Salleh berkata Nor Amira yang ditinggalkan seorang diri di rumah berkenaan ditemui dalam keadaan bingung dan tidak mengenali ibunya sendiri.

"Beberapa penduduk kawasan perumahan itu telah pergi ke rumah keluarga kanak-kanak berkenaan petang semalam dan memberitahu mereka menemui Nor Amira dalam sebuah rumah serta meminta ibunya pergi ke rumah berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata Nor Amira dikatakan menangis ketika melihat ibunya Asmah Ismail, 45, tetapi kanak-kanak itu enggan pulang ke rumahnya.

"Setelah berjam-jam dipujuk oleh keluarga dan memberitahu ayahnya sedang sakit tenat, Nor Amira akhirnya bersetuju untuk pulang," katanya.

Penemuan Nor Amira itu dimaklumkan oleh keluarga kanak-kanak itu kepada polis dan polis belum memperoleh maklumat daripada kanak-kanak itu kerana Nor Amira masih dalam keadaan trauma.

Nor Amira dilapor hilang pada 3 Dis lepas apabila ibunya mendapati kanak-kanak itu yang dihantar mengaji Quran di sebuah rumah di Taman Kenari di sini, tiada ketika ingin menjemputnya pulang.

Kanak-kanak itu didakwa menaiki sebuah kereta jenis Iswara Aeroback berwarna putih yang dipandu seorang lelaki dengan seorang penumpang wanita.

Kehilangannya dilapor oleh bapanya Mohd Rosdi Md Noh, 44.

Ghuzlan berkata polis menahan seorang lelaki berusia 40 tahun di Padang Serai dekat sini semalam bagi membantu siasatan kes kehilangan Nor Amira itu.

Beliau tidak menolak kemungkinan beberapa orang lagi akan ditahan bagi membantu siasatan. BERNAMA

No comments:

Post a Comment