15 December 2007

15.12.07 - Kian ramai pelajar Malaysia tak minat ke universiti di AS

NEW YORK 14 Dis. - Semakin ramai pelajar Malaysia yang tidak berminat melanjutkan pelajaran di universiti di Amerika Syarikat (AS), demikian hasil laporan mengenai Pertukaran Pendidikan Antarabangsa yang dikeluarkan oleh Institute of International Education (IIE) yang berpangkalan di New York.

Laporan itu menunjukkan sepanjang tempoh sesi akademik 2006/2007, terdapat 5,281 pelajar Malaysia di AS, dan jumlah itu merosot sebanyak 4.2 peratus berbanding tahun akademik sebelumnya.

Laporan itu menyatakan, sepanjang tempoh itu, 63.2 peratus pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran di peringkat praijazah, 24.4 peratus peringkat ijazah, 11 peratus dalam pelbagai kursus dan sejumlah kecil 1.4 peratus meneruskan latihan praktikal pilihan.

Menurut IIE, kemasukan pelajar dari Malaysia terus menunjukkan penurunan sejak tujuh tahun lepas, dengan penurunan ketara sebanyak 10.2 peratus pada 2005/06 berbanding tahun sebelumnya.

Laporan IIE disediakan dengan bantuan Biro Pendidikan dan Hal Ehwal Kebudayaan Jabatan Amerika.

Ketika jumlah pelajar Malaysia terus merosot, pelajar dari negara-negara lain memasuki universiti dan institusi akademik di Amerika dalam jumlah yang ramai.

Laporan IIE menyebut, terdapat hampir 583,000 pelajar asing di universiti-universiti di Amerika, menyumbangkan US$14.5 bilion kepada ekonomi negara itu.

New York University menduduki tempat ketiga dalam senarai universiti paling popular di Amerika, selepas University of Southern California dan Columbia University. Harvard University yang merupakan universiti elit menduduki tempat kesembilan dalam senarai.

- Bernama

No comments:

Post a Comment