12 December 2007

12.12.07 - Pensyarah Unisel mati ditikam perompak

SHAH ALAM 7 Dis. – Seorang pensyarah teknologi maklumat di Universiti Industri Selangor (Unisel) mati setelah cedera ditikam ketika bergelut dengan seorang daripada tiga lelaki yang memecah masuk rumahnya di Jalan Bakti, Simpang Tiga, Ijok, Kuala Selangor dekat sini, awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, mangsa, Abd. Rahman Rahmat, 38, mengalami kecederaan parah di bahagian tengkuk dan tangan selepas dipercayai ditikam menggunakan senjata tajam dipercayai pisau.

Mangsa meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Sungai Buloh.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Supritendan Ibrahim Chin berkata, ketika rumah dipecah masuk melalui pintu belakang, mangsa sedang membaca buku di bilik bacaan rumah batu setingkat miliknya.

Beliau berkata, isteri dan lima anaknya yang berusia antara dua bulan hingga empat tahun sedang tidur.

Menurut beliau, mangsa yang terdengar bunyi bising di dapur pergi untuk memeriksa dan terserempak dengan lelaki-lelaki yang memecah masuk rumahnya.

“Berlaku pergelutan antara mangsa dengan seorang lelaki sementara dua yang lain dipercayai menggeledah rumah mangsa. Mangsa cedera parah ditikam di tengkok dan tangan dalam pergelutan itu.

“Bagaimanapun, isterinya berusia 29 tahun dan kesemua anaknya tidak dicederakan,” kata beliau ketika dihubungi hari ini.

Ibrahim memberitahu, siasatan awal polis mendapati, perompak hanya berjaya mengambil wang tunai sebanyak RM50 daripada dompet mangsa sebelum melarikan diri.

“Kita percaya terdapat lebih daripada seorang suspek yang terlibat dalam kejadian ini dan kesemua suspek hanya mengambil masa kurang 20 minit untuk menggeledah rumah mangsa sebelum menyamun wang tunai RM50 itu,” katanya.

Tambah beliau, kesemua suspek sukar dikenal pasti kerana muka mereka ditutup dengan kain.

Sementara itu isteri mangsa, Halimah Tairin, 29, berkata: “Saya ingat suami saya ingin bergurau tapi rupa-rupanya yang kejutkan saya itu adalah salah seorang perompak yang bunuh suami saya’’.

Ibu itu berkata, pada mulanya, dia menjangka perompak itu suaminya kerana perompak tersebut menutup muka dengan baju anak sulungnya.

Bagaimanapun, katanya, dia menjadi takut apabila perompak itu mengeluarkan parang dan menyuruhnya diam sambil berkata, ‘Ini rompakan’.

“Selepas beberapa minit, perompak itu keluar dari bilik sambil mengambil telefon bimbit dan beg tangan yang mengandungi duit RM50,” kata Halimah yang juga seorang suri rumah.

Dia kemudian mendengar jeritan suara lelaki menyebut ‘Lailahaillallah’ dan kemudian senyap.

(Utusan)

No comments:

Post a Comment