12 December 2007

12.12.07 - Kakitangan KLIA mati ditikam penyamun

KUALA LUMPUR 7 Dis. – Seorang kakitangan perkhidmatan pelanggan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mati ditikam dalam kejadian samun kira-kira 200 meter dari rumahnya di Taman Saujana Impian, Kajang dekat sini malam tadi.

Mangsa, Irmaliana Irazal, 21, yang ditemui dengan satu tikaman pada rusuk kiri meninggal dunia dalam perjalanan ketika dihantar ke Hospital Serdang, kira-kira pukul 10.30 malam.

Dalam kejadian itu, mangsa bersama ibunya, Rosnah Abdul Aziz, 41, dalam perjalanan pulang dari kedai serbaneka 7-Eleven berhampiran rumahnya dengan menunggang motosikal.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Rosli Mohd. Nizam berkata, dalam perjalanan itu, mangsa diekori dua orang suspek yang juga menaiki motosikal.

“Suspek memperkenalkan diri sebagai polis meminta mangsa menunjukkan kad pengenalan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Rosli, bagaimanapun ibu mangsa yang curiga sebaik melihat parang dalam raga motosikal suspek menyuruh anaknya melarikan diri.

Katanya, kedua-dua beranak itu meninggalkan motosikal di tempat kejadian sebelum lari memasuki rumah jirannya.

Bagaimanapun, tambah beliau, mangsa berpatah balik untuk mengambil dompet yang ditinggalkan dalam raga motosikalnya itu.

“Apabila keluar dari rumah, ibunya melihat mangsa rebah di tempat kejadian dan motosikalnya didapati hilang dipercayai dicuri suspek,” ujarnya.

Menurut Rosli, Irmaliana bagaimanapun meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Beliau memberitahu, berdasarkan siasatan awal, polis percaya motif kejadian adalah samun.

“Polis kini sedang memburu kedua-dua lelaki itu dan sedang mengenal pasti motosikal yang dilarikan suspek dalam kejadian tersebut,” katanya.

Tambah Rosli, sehingga kini, tiada senjata ditemui di tempat kejadian dan kawasan berhampiran.

“Malah, ketika kejadian, tiada saksi yang berada di kawasan tersebut untuk mengenal pasti nombor pendaftaran motosikal ditunggang suspek,” jelasnya.

Beliau memberitahu, polis yakin suspek adalah warga tempatan dan tidak mengenali mangsa.

Tambahnya, laporan bedah siasat mendapati mangsa mati akibat ditikam menggunakan senjata tajam sedalam hampir 15 sentimeter.

Mangsa yang merupakan belas pelajar program Diploma Perakaunan Kolej Universiti Teknologi & Pengurusan Malaysia (KUPTM) itu merupakan anak sulung daripada enam beradik.

Jenayah Allahyarham dituntut keluarganya kira-kira pukul 2.30 petang di Hospital Serdang dan akan dikebumikan di kampung halamannya, Kampung Bukit Goh, Kuantan, Pahang selepas solat Asar.

(Utusan)

No comments:

Post a Comment