12 December 2007

12.12.07 - Oklahoma Diisytihar Darurat

OKLAHOMA CITY 11 Dis. – Negeri-negeri di bahagian tengah Amerika Syarikat (AS) diselimuti lapisan ais tebal ekoran ribut salji yang turut menyebabkan bekalan elektrik terputus dan memaksa lebih 600,000 buah rumah, pejabat dan gedung membeli-belah bergelap, semalam.

Sekurang-kurangnya 18 orang terkorban di negeri Oklahoma dan Missouri, dengan 15 daripadanya akibat kemalangan kerana jalan raya diliputi salji.

Keadaan darurat diisytiharkan di Oklahoma, di mana bunyi ranting patah bergema di sana-sini akibat lapisan ais yang tebal dan berat.

“Anda boleh mendengar ranting-ranting pokok patah di mana-mana,” kata seorang penduduk Oklahoma City, Lonnie Compton sambil membersihkan jalan masuk ke rumahnya yang diselimuti salji.

Kabel elektrik di beberapa kawasan di negeri itu juga terputus setelah diselimuti lapisan ais setebal dua setengah meter yang menyebabkan lebih setengah juta penduduk bergelap.

Perkhidmatan Kaji Cuaca Kebangsaan mengeluarkan amaran ribut salji hari ini di beberapa bahagian di negeri Missouri, Kansas, Nebraska, Iowa dan Illinois.

Missouri terpaksa mengisytiharkan keadaan darurat kelmarin dan meletakkan anggota-anggota pasukan Pengawal Kebangsaan dalam keadaan berjaga-jaga.

Di Lapangan Terbang Antarabangsa O’Hare di bandar Chicago, negeri Illinois, kira-kira 100 penerbangan dibatalkan tengah hari semalam, kata jurucakap Jabatan Penerbangan Chicago, Karen Pride.

Di Lapangan Terbang Midway, juga di Chicago, tiada mana-mana penerbangan dibatalkan tetapi beberapa penerbangan tertangguh selama sejam, katanya.

Sekolah-sekolah di seluruh Oklahoma ditutup dan beberapa hospital terpaksa bergantung kepada janakuasa sementara.

Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan dan Kor Jurutera Tentera menghantar 50 buah janakuasa dan tiga buah lori yang membawa air botol dari Texas untuk diedarkan di kawasan-kawasan yang bergelap di Oklahoma.

Lapangan Terbang Antarabangsa Tulsa di negeri Oklahoma bergelap selama 10 jam yang menyebabkan operasi penerbangan terhenti sepanjang hari.

– AP

(Utusan)

No comments:

Post a Comment