12 December 2007

12.12.07 - China larang ibu bapa temui Umi Azlim

PASIR PUTEH 11 Dis. – Ibu bapa kepada gadis Malaysia yang dikenakan hukuman mati di China menangguhkan pemergian mereka ke negara terbabit bagi mendapat kepastian terlebih dahulu sama ada mereka berpeluang menemui gadis itu atau sebaliknya.

Menurut Umi Slaia Ibrahim, pemergiannya dan suami yang dibiayai oleh pelbagai pihak tidak bermakna sekiranya tidak dapat bertemu Umi Azlim Mohamad Lazim, 24, yang ditahan di salah sebuah penjara di wilayah Guangzhou.

Katanya, mereka akan berlepas dengan segera selepas usaha mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa penjara anaknya ditahan itu diperoleh.

“Kakak ingin sangat berjumpa dengan Kak Long (Umi Azlim) dan hendak memeluk cium dia, tapi apakan daya.

“Pemergian kami ke Guangzhou, China yang dijadualkan esok ini terpaksa ditangguhkan setelah dimaklumkan menerusi pegawai kedutaan China ketika hendak membuat visa.

“Kami difahamkan urusan untuk bertemu hanya boleh dibuat melalui Kedutaan Malaysia dengan alasan pesalah tidak boleh ditemui keluarga ketika tempoh rayuan dibuat,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Baru-baru ini media melaporkan mengenai penahanan seorang bekas pelajar Universiti Malaysia Sabah (Unimas), Umi Azlim Mohamad Lazim, 24, ketika melalui pemeriksaan Imigresen di Lapangan Terbang Shantou, Guangzhou kerana didapati menyeludup heroin seberat 2.98 kilogram pada 19 Januari lepas.

Dia dijatuhi hukuman mati pada Mei lalu dan tidak dibenarkan membuat rayuan dalam tempoh dua tahun.

Dalam pada itu, pengiring pasangan tersebut, Hu Phang Chow yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Pas Kebangsaan berkata, mereka akan dimaklumkan mengenai keputusan itu dalam masa terdekat ini.

“Kita mahu dapatkan kepastian daripada pihak berkuasa China mengenai kedudukan gadis ini dan jika peluang diperoleh kita akan berlepas selepas 15 Disember ini.

“Menurut maklumat yang diperoleh, Umi Azlim ditempatkan di sebuah penjara yang agak jauh dari pusat bandar Guangzhou iaitu kira-kira lima jam perjalanan dengan kereta,” katanya.

(Utusan)

No comments:

Post a Comment