13 December 2007

13.12.07 - Haidar dilantik pengerusi Suruhanjaya Diraja siasat kes klip video


PUTRAJAYA 12 Dis — Bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohamed Noor dilantik pengerusi Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kes klip video yang memaparkan imej seorang dikatakan peguam sedang berbual menerusi telefon mengenai pelantikan hakim.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, ketika mengumumkan pelantikan itu dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, lima anggota lain suruhanjaya itu ialah bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong, bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar, bekas Peguam Cara Negara, Puan Sri Zaitun Zawiyah Puteh, ahli sejarah Prof Emeritus Datuk Dr Khoo Kay Kim, dan Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, sebagai setiausaha suruhanjaya.

Beliau berkata, pelantikan anggota suruhanjaya itu dipersetujui pada mesyuarat kabinet 5 Disember lepas yang turut membincangkan bidang tugas dan tempoh siasatan.

Perkara-perkara itu telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin untuk perkanan Seri Paduka Baginda, katanya.

Bidang tugas suruhanjaya itu ialah untuk menyiasat dan menentukan kesahihan rakaman klip video berkenaan, menyiasat dan mengenal pasti identiti orang yang dalam klip video itu selain dengan siapa dia sedang bercakap dan semua orang yang disebut dalam perbualan itu.

Ia juga akan menyiasat dan menentukan kebenaran isi kandungan percakapan dalam klip video itu, menentukan sama terdapat sebarang salah laku oleh orang atau mereka yang dikenal pasti atau disebut dalam klip video itu, dan mengesyorkan tindakan terhadap orang atau mereka yang dikenal pasti atau disebut dalam klip video itu sekiranya mereka ini didapati telah melakukan salah laku.

Abdullah berkata, suruhanjaya itu diberi tempoh tiga bulan mulai hari ini untuk menyiapkan siasatan dan mengemukakan satu laporan kepada Yang di-Pertuan Agong.- Bernama

No comments:

Post a Comment