12 December 2007

12.12.07 - 12 pemimpin pembangkang Ditahan

KUALA LUMPUR 11 Dis. – Seramai 29 orang termasuk 12 pemimpin parti pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) ditahan kerana terlibat dalam perhimpunan haram di luar kawasan Parlimen, hari ini.

Pemimpin pembangkang yang ditahan ialah Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tan Sri Khalid Ibrahim; Ketua Penerangan PKR, Tian Chua; Ketua Dewan Muslimat Pas, Nuridah Mohd. Salleh; Bendahari Agung Pas, Dr. Hatta Ramli dan Jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Lo’ Lo’ Mohd. Ghazali.

Dua yang lain ialah Pengerusi Penaja Parti Sosialis, Dr. Nasir Hashim dan setiausaha agung penaja parti itu, S. Arutchelvan.

Mereka ditahan secara berasingan di luar pintu masuk utama Parlimen dan kawasan sekitarnya yang menjadi tempat perhimpunan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) bermula pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari ini.

Selepas itu, Pengarah Pilihan Raya Pas yang juga Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Mustafa Ali pula antara lima pemimpin yang ditahan di dalam kawasan Parlimen, pukul 1 petang ini.

Mereka ditahan di tempat letak kereta kawasan Parlimen selepas menyerahkan satu memorandum kepada Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di lobi Parlimen.

Memorandum itu ialah berkaitan bantahan Bersih terhadap tindakan meminda Perlembagaan Persekutuan untuk melanjutkan umur persaraan ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Dewan Rakyat, hari ini.

Selain Mustafa, empat lagi yang ditahan ialah Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Yap Swee Seng; Ahli Writers Alliance of Media Independence, Wong Chin Huat; Pengasas Pusat Komunikasi Masyarakat, Mein Lor dan Pengarah Eksekutif Pusat Kewartawanan Bebas, V. Gayathry.

Selain 12 pemimpin parti pembangkang dan NGO terbabit, turut ditahan ialah 17 aktivis dan orang awam iaitu antara 100 penyokong Bersih yang berhimpun di persimpangan Dato’ Onn berhampiran bangunan Bank Negara Malaysia (BNM) di sini.

Tian Chua adalah pemimpin pembangkang pertama ditahan iaitu pada kira-kira pukul 10.35 pagi ketika beliau bersama seorang rakan lelakinya yang berkereta melanggar sekatan polis di Jalan Parlimen berdekatan Tugu Negara.

Beliau dan lelaki itu berjaya ditahan walaupun pada satu ketika mereka enggan keluar dari kereta.

Pada pukul 11.05 pagi, Nuridah, Dr. Hatta dan Dr. Lo’ Lo’ ditahan bersama lima pemimpin Pas yang lain ketika berkumpul di luar kawasan Parlimen.

Ini diikuti penahanan Khalid pada pukul 12 tengah hari selepas bercakap kepada pemberita di luar pintu pagar utama kawasan Parlimen.

Kesemua tahanan terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur (IPKKL) untuk disoal siasat sebelum kesemuanya dibebaskan secara berperingkat-peringkat dengan jaminan polis bermula petang ini, didahului Khalid dan Mustafa pada kira-kira pukul 3 petang.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Ismail Omar yang dihubungi Utusan Malaysia memberitahu, kesemua tahanan itu sudah dibebaskan dengan jaminan polis malam ini selepas masing-masing selesai disoal siasat.

Menurutnya, kesemua 29 orang itu ditahan di beberapa lokasi sekitar Parlimen sejak pukul 9 pagi sehingga 1 petang ini.

Tambah beliau, mereka ditahan kerana melanggar perintah mahkamah semalam yang melarang penyokong Bersih daripada berkumpul di bangunan Parlimen hari ini.

“Mereka tetap berdegil dan ingkar arahan mahkamah, jadi polis terpaksa tahan mereka,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, selain persimpangan Dato’ Onn, Jalan Parlimen dan Jalan Kinabalu, semua jalan utama di ibu kota yang mempunyai akses ke Parlimen ditutup atau diadakan sekatan oleh polis.

Di Jalan Parlimen dan Jalan Kinabalu, laluan itu dikawal ketat oleh kira-kira 500 anggota polis, termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang ditempatkan di beberapa lokasi berhampiran Parlimen.

Ekoran itu, cubaan peserta perhimpunan untuk menuju ke bangunan Parlimen menerusi persimpangan Dato’ Onn berjaya dihalang pihak polis yang berkawal sejak pukul 3 pagi lagi.

Para penyokong Bersih yang tidak berpuas hati kemudian berjalan kaki menuju ke IPKKL bagi menuntut supaya polis membebaskan pemimpin dan rakan-rakan mereka yang telah ditahan.

Kumpulan tersebut yang tiba di IPKKL pukul 1 petang berdegil enggan bersurai walaupun diberi amaran oleh Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDN/KA) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner K. Kumaran.

Mereka hanya mematuhi arahan dan bersurai kira-kira pukul 2.15 petang selepas diminta oleh Ketua Dewan Pemuda Pas, Salahuddin Ayub yang datang ke IPKKL.
(Utusan)

No comments:

Post a Comment