11 December 2007

11.12.07 - Tiga pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ditahan BPR

Oleh UMAVATHI RAMAYAH

KUALA LUMPUR 10 Dis. – Tiga pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan seorang anggota polis adalah antara lapan orang yang ditahan kerana disyaki menjadi dalang melindungi lori-lori dan kenderaan perdagangan daripada ditahan melalui sindiket penggunaan ‘pelekat kebal.’

Mereka ditahan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) dalam operasi di Negeri Sembilan dan Selangor baru-baru ini.

Para pegawai JPJ terbabit, yang salah seorang daripadanya kini bertugas di Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Putrajaya, di samping anggota polis berpangkat Lans Koperal dari Balai Polis Nilai dipercayai menjadi dalang kepada sindiket ‘pelekat kebal’ itu.

Sindiket ‘pelekat kebal’ itu selalunya menjadikan syarikat atau pemilik lori yang sering membawa muatan berlebihan sebagai pelanggan untuk membolehkan mereka mengelak dikompaun serta diheret ke mahkamah.

Syarikat kenderaan terbabit sanggup membayar antara RM500 dan RM700 sebulan berbanding dengan nilai dikompaun RM300 jika membawa muatan lebih 30 peratus daripada jumlah yang dibenarkan.

Taktik mereka ialah mengedarkan ‘pelekat kebal’ melalui orang tengah untuk ditampal pada cermin lori atau kenderaan perdagangan dengan bayaran tertentu bertujuan membolehkan pemandunya dilepaskan sekatan JPJ atau polis.

Pelekat-pelekat kebal itu tertulis ‘KCE’, ‘KCHAI’, ‘BoB’, ‘VML’, ‘John’, ‘KFC’ dan ‘CB’ yang memberi ‘isyarat’ kepada pegawai JPJ atau pegawai polis tertentu yang ada hubungan dengan sindiket itu supaya melepaskan kenderaan yang menggunakannya.

Selain pegawai JPJ dan anggota polis itu, turut ditahan dalam operasi tersebut ialah empat orang awam.

Pengarah Perisikan BPR, Datuk Mohd. Jamidan Abdullah memberitahu Utusan Malaysia di sini hari ini bahawa sindiket ‘pelekat kebal’ tersebut yang dipercayai melakukan aktiviti itu dengan anggaran wang suapan mencecah puluhan ribu ringgit sebulan sejak lebih 10 tahun lalu dipercayai mempunyai rangkaian luas di seluruh negara.

Menurutnya, dengan adanya ‘pelekat kebal’ pemandu lori yang menampalnya pada cermin kenderaan dapat terlepas daripada dikenakan tindakan atau jika ditahan sekalipun saman yang akan dikenakan cuma bagi kesalahan lebih kecil.

Tambah beliau, ‘pelekat kebal’ itu menjadi alat komunikasi untuk menghalang atau mengagalkan operasi JPJ dan pihak berkuasa lain.

“Operasi ini adalah ekoran pendedahan pihak atasan JPJ sendiri mengenai sindiket mengedarkan ‘pelekat kebal’ untuk lolos daripada pemeriksaan pihak berkuasa.

“Pelekat berbeza nama dan tulisan itu bermaksud mewakili pemilik lori atau syarikat yang memiliki lori terbabit,” katanya.

Ditanya antara tujuan utama syarikat-syarikat kenderaan perdagangan memohon perlindungan menerusi ‘pelekat kebal’ itu, Mohd. Jamidan menjelaskan, syarikat terbabit mahu kenderaan mereka dilepaskan tanpa menjalani pemeriksaan di Stesen Timbang.

(Utusan)

No comments:

Post a Comment