11 December 2007

11.12.07 - Perarakan ke Parlimen, pimpinan PAS dan KeADILan antara yang ditahan

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Hrkh) - Pihak polis meneruskan siri tangkapannya. Kali ini beberapa pemimpin PAS dan KeADILan turut ditahan.
Sebelum ini, suasana aman dalam melahirkan bantahan oleh Bersih tercemar apabila pihak polis mula membuat tangkapan secara kasar ke atas peserta yang berhimpun di hadapan parlimen. Dalam kejadian jam 10.15 pagi tadi, Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli; Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Salleh, Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Tantawi, Dr Lo' Lo Haji Ghazali; Setiausaha Agung KeADILan, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Dr Mohd Nasir telah ditangkap oleh pihak polis.

Terdahulu, Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua telah ditangkap dalam jarak 200 meter dari tempat kawalan pihak polis.

Dalam kejadian tersebut, empat anggota dengan kasar telah memaksanya keluar dari kenderaan yang dipandu oleh pemandunya.

Beliau bersama-sama dengan pemandunya telah dibawa oleh polis dengan kenderaan berasingan ke IPK Kuala Lumpur.

Sebelum ini, pihak polis telah mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalang Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) daripada mengadakan perhimpunan di Parlimen pagi ini.

Ketua polis daerah Sentul telah mendapatkan perintah tersebut daripada Mahkamah Majistret Kuala Lumpur semalam.

Perintah itu - yang kedua selepas perhimpunan Hindraf pada 25 November - melarang empat individu serta penyokong Bersih yang lain daripada menghadiri atau menyertai perhimpunan tersebut.

Empat individu tersebut ialah Naib Presiden PAS,Mohamad Sabu; AJK PAS Pusat,Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi; Adenaan Saad dan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud.

Perintah itu juga menyatakan bahawa pihak-pihak berkaitan yang lain juga dilarang sama daripada menyertai perhimpunan tersebut.

Sementara itu, lebih 50 wartawan dan jurugambar dari dalam dan luar negara sedang berada di sekitar kawasan parlimen untuk membuat liputan.

Pada jam 11.30 pagi tadi Bersih melalui jurucakapnya Yap Swee Seng telah mengadakan sidang akhbar di lobi parlimen dan membacakan butiran memorandum yang akan diserahkan kepada kerajaan.

Turut hadir dalalm sidang akhbar tersebut adalah, Pengarah Pilihan raya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali; Presiden KeADILan, Dr Wan Azizah; Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayob; Pengarah Penyelidikan PAS, Dr Dzulkifli Ahmad dan Wong Chin Huat. - mks.

(HarakahDaily)

No comments:

Post a Comment